Wednesday, 23 July 2014 //

Analisis

Elok Utusan jadi akhbar parti

Oleh Aslani Mulhiq

11.Ogos – MUNGKINKAH ada kewajaran Utusan Malaysia juga dilabel sebagai akhbar parti, sama seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket. Cuma apa yang membezakan kerana Utusan diterbit secara harian.

Selain itu tiada ditulis perkataan ‘untuk ahli sahaja’.

Utusan juga agak selamat kerana masih disebut orang sebagai akhbar arus perdana. Biar pun begitu warna biru yang dijadikan ’tagline’ sudah memadai untuk digambarkan Utusan juga ada keserasian dengan parti tertentu.

Akhbar itu memperlihatkan suasana rimas dengan kehadiran Harakah, Suara Keadilan dan Roket yang dijual secara terbuka. Utusan sanggup mengarah petugasnya membuat tinjauan memastikan Harakah tidak dijual terbuka.

Laporannya pada 20 Julai lalu memperlihatkan gelisah jiwa pengarangnya. Kalau bukan akhbar parti, tentunya berita seumpama itu tidak diberi ruang.

Sedangkan laporan seperti itu tidak kelihatan di akhbar Melayu lain.
Utusan tidak mampu menyembunyikan lagi diri. Tuan Besarnya kelihatan berwajah Umno. Maka pesaing kepada parti itu juga dianggap sebagai musuhnya. Namun anehnya ketika cemburu membara dihala terhadap akhbar oposisi dan media baru, dalam masa yang sama dia menghulur tangan perpaduan kepada pemimpin PAS.

Maka tidak hairanlah anggota parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dari awal lagi meluahkan rasa curiga. Beliau tidak nampak ada keikhlasan dipancarkan dari lubuk nurani pemimpin Umno apabila bercakap soal perpaduan Melayu.

Dan hakikat inilah yang berlaku sekarang. Ketika pemimpin Umno mengharap sangat tangan perpaduan disambut, namun Utusan yang menjadi ’lidah Umno’ memuntah peluru tabur kepada akhbar milik PAS dan Pakatan.

Utusan sanggup menjadi mata telinga kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan Harakah tidak dijual di gerai akhbar. Apakah kerja pemberitanya tidak lagi untuk menyebarkan fikiran rakyat, sebaliknya seperti menjadi agen KDN.

Semangat yang dipertahankan Said Zahari ketika melancarkan mogok lapar pada 1961 kerana membantah Umno menguasai Utusan Melayu, sudah lama hilang.

Bukan sekadar gaji pekerja yang dituntut ketika itu, sebaliknya penguasaan parti politik ke atas akhbar Melayu paling tua menjadi pertikaian Pak Said.

Selepas 50 tahun deyutan itu dirasai Pak Said, hari ini pengarang yang menyambung ’nyawa’ Utusan membiarkan semangat nasionalis Melayu hilang.

Kata Dollah Tukang Cat, Utusan wajar memikirkan motto lain, auranya sebagai penyebar fikiran rakyat sudah hilang. Utusan yang ada hari ini sudah dibiarkan menjadi talian hayat Umno.
Ramai sedar hakikat itu. Bukan sekadar sarjana di institusi pengajian tinggi, sebaliknya Pak Mat, Ah Ming dan Ramanathan yang kerja di kebun di Hulu Selangor juga faham.

Perpaduan Melayu

Maka tidak salah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengajak pemimpin dan ahli PAS tidak terjerumus dalam mainan media Umno berhubung isu kerjasama Umno-PAS.

Peringatan itu bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan rakyat. Hari ini seperti kelihatan ada segelintir pemimpin PAS seperti terperangkap.

Sedangkan isu perpaduan, muqabalah atau kerjasama dengan Umno sudah dimuktamadkan pada muktamar di Ipoh pada 2008. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat seakan ’amuk’ apabila ada pemimpin parti terbabit cuba berdondang sayang lagi dengan lagu perpaduan.

Malangnya selepas lebih dua tahun berlalu, isu kerjasama seperti payah reda. Ketika Menteri Besar Kelantan bercakap soal perpaduan Islam, pemimpin Umno pula leka dengan perpaduan Melayu.

Tiada titik hujung di antara kedua-duanya kerana jalan dilalui berlainan.

Ada pengkaji politik melihat isu perpaduan diratib Umno melalui Utusan kerana orang bukan Melayu semakin melarikan diri daripada BN.

Orang Cina marah kepada MCA dan Gerakan kerana gagal mengubah struktur perkongsian kuasa dalam BN. Akhirnya ramai pemimpin MCA dan Gerakan meninggalkan perjuangan lama.

Antaranya bekas anggota jawatankuasa pusat Wanita MCA, Felicia Ling meninggalkan parti itu pada 2 Febuari 2008. Begitu juga bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Lim Boo Chang menyertai Keadilan pada Jun 2008.

Kemuncaknya bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chua Jui Meng menyertai Keadilan pada 18 Julai 2009. Begitu juga bekas pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Tan Kee Kwong meninggalkan BN pada 5 September 2008.

Pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr Thock Ker Pong menulis kebanyakan pemimpin parti kompenan Cina dalam BN keluar parti bagi menguatkan barisan pembangkang.
”Mereka mendokong kemunculan dimensi baru dalam perkembangan politik Malaysia yang berlandaskan sistem dua barisan dan politik multietnik,” tulisnya dalam jurnal Pemikir Julai – September 2010.

Sistem dua parti

Kaum Cina sebenarnya sudah lama mengharapkan sistem dua parti wujud di negara ini. Pemimpin persatuan Cina Huatuan mengimpikan gagasan dua parti sejak 1986.

Mereka melihat pemusatan kuasa seperti yang berlaku sekarang menyebabkan demokrasi menjadi tempang. Sistem dua parti mulai membiak pada 1990 apabila lahir Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Gagasan Rakyat.

Semangat 46, PAS, Hamim dan Berjasa bergabung dalam Angkatan, manakala Semangat 46 dan DAP juga membentuk Gagasan Rakyat. Namun hanya mampu bertahan dua pilihan raya umum.

Kemudian lahir pula Barisan Alternatif pada 1999 (BA) ketika reformasi mulai membadai. BA juga tidak mampu berkembang jauh kecuali di Kelantan dan Terengganu serta beberapa tempat di Pahang, Kedah, Perlis, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Sistem dua parti nampaknya lebih berjaya selepas lahirnya Pakatan Rakyat setelah kuasa majoriti BN di parlimen terlodeh pada 8 Mac 2008.

Pada pilihan raya tersebut BN sekadar mendapat 49 peratus undi popular di semenanjung. Kerusi parlimen BN di semenanjung hanya 85 berbanding Pakatan (80 kerusi). Tali hayat BN hanya bergantung kepada Sabah dan Sarawak kerana menyumbangkan 55 kerusi.

Umno juga hanya mampu bertahan di 79 kerusi berbanding 110 kerusi pada pilihan raya 2004. Tanpa diambil kira dengan pembelotan segelintir anggota parlimen Keadilan, Umno dan BN perlu menyiapkan keranda untuk ditempatkan jasad mereka yang semakin uzur.

Apakah Utusan mampu memberi makjun mujarab untuk menjelma semula Umno seperti artis yang awet muda. Ramai pihak berhujah masanya sudah terlambat.

Lebih-lebih lagi ulang tahun pertama Datuk Seri Najib Razak menerajui negara dicemari dengan rekod buruknya menangani hak asasi manusia. Laporan hak asasi Suaram 2009 menjadi bahan bukti.

Laporan itu memaparkan beberapa pencabulan dilakukan kerajaan persekutuan.
Penyelaras dan pemantau Suaram, John Liu mendakwa salah guna kuasa pegawai agensi penguatkuasaan juga semakin menjadi-jadi.

“Salah guna itu bukan sahaja oleh polis tetapi juga agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya pada taklimat sempena pelancaran laporan itu di Kuala Lumpur Rabu lalu.

Mampukah Utusan menyekat maklumat seperti itu sampai ke telinga rakyat dengan ’menghasut’ KDN bertindak ke atas akhbar oposisi. Hari ini Utusan sudah tidak mampu lagi sembunyikan diri, juara Melayu ada di sebalik tabirnya.

—————————————————————————————————

Hanya rumah penyokong Umno berubah di Manek Urai
ASLANI MULHIQ

11.Ogos -PAK MAT sudah tidak lama bertandang ke Kampung Manek Urai. Selepas pilihan raya kecil Julai tahun lepas, hanya baru-baru ini dia menjengok semula ke situ.

Biar pun usianya sudah mengensot warga emas, namun Pak Mat masih gagah lagi memandu kereta. Van Nissan Vennete dibelok ke kiri dari jalan Kuala Krai – Gua Musang memasuki Kampung Manek Urai Baru.

Pak Mat tak nampak ada apa-apa perbezaan berbanding sebelum pilihan raya kecil lalu.

Dia meneruskan perjalanan ke dalam kampung. Beberapa penduduk mengangkat tangan kepadanya. Pak Mat angkat tangan juga. Kadang-kadang dibunyikan hon kereta.

Pak Mat kenal mereka ketika kempen pilihan raya kecil berlangsung. Pak Mat tidur di markas ketika itu. Kemudian Pak Mat teruskan kembara menyeberangi Sungai Lebir memasuki Kampung Manek Urai Lama.

”Tidak juga nampak perubahan yang berlaku, sedangkan Timbalan Perdana Menteri menjanjikan jambatan dua hala, membangunkan pekan Agoropolitan dan macam-macam lagi.

”Hari ini setelah setahun berlalu tak nampak apa-apa pun. Jambatan masih sempit seperti 20 tahun lalu,” getus hati kecil Pak Mat. Dia jadi macam orang gila kerana bercakap seorang diri.

Tiba-tiba Pak Mat naik hairan ketika membelok di kiri selepas melewati masjid kampung lama. Banyak pasir ditimbunkan di hadapan beberapa rumah penduduk. Dia membilang ada ada empat longgokan pasir di sepanjang jalan tersebut.

Di rumah terbabit Pak Mat masih ingat terpacak bendera dacing pada pilihan raya kecil lalu. ”Ohh inilah yang rupa-rupanya dikatakan perubahan di Manek Urai,” runggut jiwa kecilnya lagi.

Itu cerita Pak Mat. Ada kebenaran yang tidak dapat dinafikan. Setelah setahun berlalu Manek Urai masih lagi di tahap lama, jauh sekali dengan apa dijanjikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cuma sedikit berubah apabila penyokong Umno mendapat bantuan membaiki rumah. Di kalangan mereka ada yang menyambung ’porch’. Kalau dahulu kecil sekarang sudah besar, hampir selebar lot tanah.

Khabarnya belanja bikin porch itu projek Umno. Setiap satu disebut orang kampung diperuntuk lebih RM3,000. Mungkin jumlah itu tidak termasuk lagi upah tukang. Berayalah orang Umno di Manek Urai sekarang.

Rupa-rupa perubahan dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri pada kempen pilihan raya kecil lalu hanya untuk puak Umno. Orang yang tidak Umno hanya jadi penonton sahaja.

Khabarnya situasi serupa juga berlaku di Hulu Selangor. Pada kempen pilihan raya kecil yang diadakan selepas Manek Urai, setiap peneroka Felda Sungai Buaya dijanjikan mendapat pampasan yang tertunggak sekian lama.

Ketika itu dihulur RM50,000 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bayaran tunai hanya RM1,000 dan selebihnya RM49,000 lagi dalam bentuk draf bank. Khabarnya draf bank itu belum lagi bertukar menjadi wang tunai sehingga sekarang.

Sedangkan lebih 15 tahun mereka menunggu mendapatkan pampasan tanah yang diambil kerajaan BN demi projek bernama pembangunan.

Nasib mereka mengulangi apa yang menimpa peneroka Felda Labu Sendayan di Negeri Sembilan. Difahamkan peneroka terbabit hilang tanah kebun, namun bayaran penuh dijanjikan kerajaan Negeri Sembilan hanya tinggal janji.

Bagi orang kampung di Kota Bharu pula lain ceritanya. Mereka mendakwa ramai aktivis Umno ditawar mengerjakan umrah percuma pada Ramadan ini.

Di sebuah kampung di Dun Bunut Payong beberapa nama disebut mendapat tawaran itu. Mereka sudah jaja ke seluruh kampung ada pemimpin berpangkat datuk taja tunaikan umrah. Begitukah begitu.

Manakala guru-guru pula mendakwa mereka mudah dipertimbangkan wang bagi menjayakan sesuatu projek di sekolah.

“Sedangkan sebelum ini pelajar terpaksa meminta sedekah keliling kampung untuk mendapatkan dana bagi melaksanakan sesuatu projek kokurikulum.

“Namun tahun ini duit macam melimpah pula. Kami pun hairan dari mana datang duit itu. Sebuah sekolah di Kota Bharu menganjurkan lawatan makan angin sudah dua kali tahun ini,” kata seorang guru yang enggan dikenali.

Sedangkan beberapa pegawai perubatan memberitahu bajet kepada hospital di seluruh Kelantan dikurangkan separuh tahun ini berbanding tahun lepas.

Ada pula kes ubat di sebuah klinik di Bachok terpaksa dipinjam dengan klinik di tempat lain kerana kehabisan stok.

Seorang anggota polis yang bertugas pada pilihan raya kecil di Manek Urai mendakwa sehingga Mei lalu belum mendapat elaun kerja lebih masa.

Namun hairannya mengapa sektor pendidikan tiba-tiba seperti mendapat durian runtuh. Ramai guru dan orang kampung buat telahan, duit wang ihsan hasil petroleum yang dituntut kerajaan Kelantan sudah ditabur sekarang.

Sedangkan Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendakwa peruntukan wang ihsan hanya untuk membantu pelajar miskin.

Katanya wang ihsan hanya diberi kepada keluarga pelajar berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.
Pada Mac lalu Awang yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok memberitahu agihan wang ihsan sebanyak RM20 juta akan dibuat mulai 3 April lalu.

Kononnya 100,000 pelajar akan mendapat bantuan tersebut. Pada kenyataan yang sama di Bachok pada 18 Mac lalu, Awang menyebut kerajaan pusat meluluskan sebanyak RM25 juta wang ihsan hasil pengerudian telaga minyak di perairan Kelantan.

”Daripada jumlah itu sebanyak RM5 juta akan diperuntukan kepada mereka yang mengalami bencana alam termasuk kebakaran, banjir dan mangsa ribut,” kata Awang.

Sekarang hampir empat bulan berlalu, tidak pula kedengaran wang ihsan diagihkan kepada 100,000 pelajar miskin seperti disebut Awang.

Namun apa yang kelihatan sekarang rumah-rumah pemimpin dan penyokong Umno di kampung-kampung yang berubah wajah. Tunggulah Ramadan ini berapa ramai pula pemimpin Umno di peringkat cawangan yang dibawa ’makan angin’ ke Makkah.

Ramai khuatir segala program itu bersembunyi di sebalik wang ihsan, milik seluruh rakyat Kelantan. Ini kerana lebihan duit secara tiba-tiba yang menjelma sekarang. Sedangkan ia belum pernah disebut orang sebelum ini.

Wajarlah pemuda PAS atau Keadilan buat kajian. Mereka patut ketengahkan isu tersebut biar pun Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis agak bias.

Laporan kemungkinan berlaku salah guna wang ihsan perlu sampai ke setiap telinga rakyat.

Seorang pensyarah UM, Dr Thock Ker Pong dalam kajiannya mengenai ketuanan politik Melayu menyebut, ”kelahiran struktur baru pemerintahan negara di mana cita-cita perjuangan Melayu mendapat pembelaan yang total daripada kerajaan dikuasai Umno.

”Kekuasaan politik yang dimiliki elit Melayu membolehkan penggubalan dasar-dasar negara untuk memenuhi agenda perjuangan Melayu,” tulisnya dalam sebuah tesis. Hari ini politik Melayu cuba dicelarukan pula dengan pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan membenarkan pegawai pendidikan siswazah aktif dalam politik.

Tahukah beliau sebelum ini berapa ramai guru yang aktif Umno mendapat kenaikan pangkat percuma. Mereka dibiarkan meninggalkan kelas pada musim pemilihan tanpa sebarang tindakan.

Sedangkan guru yang tidak menyokong Umno ditukar ke pedalaman sesuka hati. Seorang guru berhujah Mohd Sidek tidak perlu mengumumkan barang lama yang sudah menjadi sebati dengan amalan politik Umno.

“Siapa untung dalam isu ini kalau tidak Umno,” kata Cikgu Dollah yang hampir pencen dengan status guru biasa. Dia akui bukan penyokong Umno.

——————————————————————————————-

Mencari erti demokrasi di negara 1Malaysia

Oleh ASLANI MULHIQ

25.Julai - PADA satu program anjuran National Union of Journalists (NUJ) Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kuasa media sebagai fourth estate.

Begitu juga dalam sistem negara demokrasi, media menjadi kumpulan pendesak yang berkesan. Ada sarjana melabelkan media sebagai kuasa ketiga.

Selain parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) juga dikategorikan sebagai kumpulan pendesak. Peranan dimainkan NGO hanya lebih berkesan apabila ada jalinan kerjasama dengan media.

Maka benarlah tanggapan media sebagai fourth estate dalam sistem demokrasi.
Bagaimanapun kuasa keempat yang dimiliki media tidak memberi sebarang makna di negara autokrasi atau demokrasi terpimpin. Jauh sekali di negara sosialis atau komunis.

Banyak negara sekarang bimbang apabila dikaitkan dengan usaha menyekat kebebasan bersuara. Pada 2008 Indeks Kebebasan Akhbar Malaysia merosot lapan anak tangga.

Berbanding 173 negara yang ditinjau, Malaysia berada di tangga ke-132 berbanding kedudukan 124 pada 2007. Perangkaan itu dikeluarkan badan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris.

Kedudukan tersebut meletakkan Malaysia lebih teruk berbanding tahap kebebasan di beberapa negara Afrika. Misalnya Nigeria di tangga 131 dan Cameroon (129).

Kedudukan Malaysia pada 2006 di tangga ke-92. Menurut laporan RSF ketika itu, Malaysia menerima kritikan di bawah pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana cuba menyekat media dan penulis blog.

Pada masa itu juga dilaporkan berlaku pengharaman akhbar Tamil Makkal Osai.
Petugas media dari Malaysia Nanban dan Guangming Daily dilapor RSF diserang penyokong parti kerajaan.

Maka disimpulkan pada laporan tersebut negara jiran Malaysia menikmati kebebasan akhbar lebih baik. Indonesia berada di tangga ke-111 dan Thailand (124).
RSF merupakan organisasi yang memantau kebebasan akhbar di seluruh dunia sejak 1985.

Sedangkan Perlembagaan Malaysia memperuntukkan dengan jelas hak kebebasan bersuara. Namun apa yang berlaku sekarang menggambarkan kerajaan cuba menafikan had kebebasan menyuarakan pendapat, di sisi perlembagaan.

Ini secara tidak langsung seperti menakut-nakutkan petugas media oposisi dan menghalang rakyat mendapat input segar.

Apakah alasan kerajaan memasung kebebasan berkarya. Adakah benar-benar bertujuan memelihara keselamatan negara atau ada niat lain.

Akta Hasutan misalnya melarang ulasan awam terhadap isu-isu yang dianggap sensitif seperti perkauman dan keagamaan. Kerajaan juga menghidupkan Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, undang-undang fitnah, jenayah dan pelbagai lagi bagi menghad kebebasan rakyat.

Kekangan terhadap kebebasan yang berlaku di era Pak Lah kelihatan berubah wajah di era awal kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak. Pembebasan beberapa tahanan ISA membuktikan Najib ada perasaan simpati.

Namun selepas lebih setahun berada di kedudukan selesa, sekarang kebimbangan lama meruap kembali.
Bermula dengan penggantungan Suara Keadilan hanya sekadar alasan menyiarkan berita Felda bankrap. Tidak hanya sekadar meluahkan amarah dengan saman sebanyak RM200 juta terhadap PKR, Umno mengenakan hukuman lebih berat.

Suara Keadilan digantung tidak bertali. Ekoran itu Pengarah Strategik PKR, Tian Chua menyifatkan kenyataan dikeluarkan KDN bahawa permit penerbitan akhbar itu tidak digantung dan cuma tamat tempoh mempamerkan sikap ‘flip flop’ kerajaan.

“Mengenai kedudukan permit Suara Keadilan kita sebenarnya keliru, selepas KDN isytihar pengantungan permit tersebut, menteri pula menjelaskan permit belum digantung tetapi permit tamat tempoh” katanya.

Bagaimanapun beliau bertegas Suara Keadilan tetap akan diterbit sehingga mendapat jawapan jelas dari kerajaan. Selepas itu muncul Keadilan yang diedar percuma, terbitan Angkatan Muda.
Usaha PKR tidak terhenti di situ, anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali menghantar usul kepada Yang DiPertuan

Dewan Rakyat bagi membahaskan isu penggantungan permit Suara Keadilan.
Tanpa menunggu masa kecederaan nasib serupa menimpa Harakah, milik PAS dan Roket (DAP).

Nampaknya perdana menteri tidak mampu menahan amarah. Beliau mengaktifkan kembali segala akta dan undang-undang bagi menghalang kebangkitan rakyat.

Tindakan tersebut dilihat banyak pihak sebagai amaran awal pilihan raya umum ke-13 bakal menjelma.
Namun kerajaan lupa, isu lokal memasung akhbar rakyat meletup reaksi dunia dalam sekelip mata. Ia sudah menjadi bahang global. Ketika Sepanyol sibuk merayakan kejayaan menjulang World Cup, di Malaysia Pakatan Rakyat meratapi kebebasan yang direntap pemerintah.

”Keseronokan menyaksi aksi pemain hebat dunia berlalu cepat selepas kerajaan BN mengheret ke belakang indeks kebebasan media di mata dunia,” kata seorang sarjana.

Seorang bekas pegawai kanan kerajaan berhujah media oposisi milik Pakatan Rakyat disekat bukan kerana isu keselamatan negara, sebaliknya ketuanan Umno dan BN yang semakin reput.

Kata beliau mengapa akhbar terbitan Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mendesak kerajaan menahan Ketua Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong di bawah ISA tidak dikenakan sebarang tindakan.
Biar pun selepas Pemuda MCA membuat laporan polis, KDN masih teragak-agak menggantung permit Suara Perkasa.

Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Kow Cheong Wei menyifatkan berita disiarkan akhbar baru milik Datuk Ibrahim Ali itu sebagai keterlaluan.

“Kami harap Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen penerbitan Perkasa,” katanya, seperti dilapor media.
Apa kata KDN terhadap laporan Utusan yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim membayar CNN sehingga mendapat tempat di siaran stesen global itu.

CNN menafikan cerita Utusan, tetapi KDN senyap membisu.

Sebaliknya apa yang berlaku sekarang Suara Keadilan dan Roket pula digantung tidak bertali.
Karim Raslan, rakyat Malaysia yang bermestautin di Jakarta menulis, ’saya membandingkan dengan Indonesia yang lebih bebas dan pastinya babak-babak pemberitaan lebih hidup.

Rakyat kini cuba ditutup mata, ketika langit dunia semakin membelah angkasa.

————————————————————————————

Umno cari JI akhirnya jumpa ulama muda
Oleh ASLANI MULHIQ
29.Jun - ANGIN, ribut tiada tiba-tiba muncul isu Jemaah Islamiah (JI). Lebih mengaibkan lagi apabila didakwa JI bergerak di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Biar pun dakwaan itu sudah diulang-ulang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan polis, sehingga hari ini tiada yang diberitakan ada JI ditahan.

Mungkinkah ianya mahu mengulangi dakwaan lama polis berjaya mengesan ada pihak membeli banyak dakwat di luar negara, ketika usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu menggunakan celup dakwah semasa mengundi.

Berita itu menjadi tajuk utama menjelang pilihan raya 2008. Sedangkan sebelumnya banyak pihak menyenangi usaha SPR mahu mempamerkan ketelusan dalam pengendalian pilihan raya.

Celup jari dengan tanda dakwat sebagai mengesahkan pemilih telah mengundi. Ia bagi merungkai isu pengundi hantu. Selepas semua pihak terutamanya pembangkang menarik nafas lega bagi melihat proses pengundian lebih telus, akhirnya harapan itu lebur dengan kenyataan ada sindiket beli dakwat oleh polis.

Namun sehingga ke hari ini belum kedengaran pihak berkuasa menahan siapa yang mengimport begitu banyak dakwat di luar negara.

Cadangan menggunakan dakwat akhirnya hilang. Mungkinkah adegan serupa diulang sekali lagi bagi memperlihatkan kecekapan polis Malaysia.

Masihkan anda ingat adik Nurin Jazlin yang ditemui mayatnya dalam sebuah beg di tepi jalan, namun sampai ke hari ini pembunuhnya belum ditemui.

Televisyen berkali-kali mengulangi gambar dari rakaman CCTV seorang lelaki meletak beg yang berisi jenazah Nurin. Hairannya pembunuh yang zalim masih bebas dan dibiarkan meraikan sisa-sisa usia tanpa terkurung di sebalik jeriji besi.

Tiba-tiba hari ini JI pula timbul ketika Malaysia mengharap kedatangan lebih ramai pelabur bagi memulih ekonomi yang semakin tenat.

Namun seperti kata seorang pemimpin PKR, akibat dakwaan JI disebut Perdana Menteri dan polis, pelabur yang sudah merancang datang ke sini, undur semula.

Mungkin juga ada kebenaran dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim JI timbul bagi membolehkan Umno mengalih perhatian rakyat daripada isu judi bola sepak. Isu itu ternyata terperosok mendalam jiwa rakyat.

Kesannya sudah meluas ke seluruh penjuru negara. Rakyat yang dilahirkan dalam keluarga dacing pun sudah mula berkira-kira. Dacing yang mereka perjuangkan selama ini rupa-rupa bagi menimbang bola judi.

Begitu juga dengan isu tanah Kereta Api Tanah Melayu di Tanjung Pagar. Tanah warisan milik kerajaan Johor itu gagal dipertahankan. Tiba-tiba hanya lebih setahun Najib dilantik menjadi CEO Malaysia isu yang tidak selesai berdekad-dekad lamanya begitu mudah dirungkai.

Kata Abang Nor, yang juga jual ikan keliling kampung, dia juga boleh selesaikan isu lama sekiranya mahu digadai warisan negara.

Inilah yang berlaku sekarang biar pun isu itu kurang difahami pengundi di Hulu Selangor. Mereka lupa cerita lama hanya kerana dibayar pendahuluan wang pampasan isu Felda Sungai Buaya yang berpuluh tahun gagal diselesaikan.

Hari ini adakah kerajaan BN membayar baki wang mereka selepas Kamalanathan dipilih menjadi wakil rakyat.
”Najib memang ada kebolehan jadi pemimpin kerana cakapnya lebih lancar berbanding Pak Lah. Begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin petah berucap di pentas berbanding Datuk Seri Syed Hamid Albar,” kata Abang Nor.

Namun kebolehan mereka makin terbukti sekarang apabila judi bola sepak diluluskan dan tanah milik KTMB digadai.

Itu belum lagi diambil kira isu APCO Worldwide dengan duit deposit sebanyak RM77 juta dibayar kerajaan. Sedangkan APCO didalangi orang Yahudi, yang membuat penduduk Palestin menjadi sengsara.
Dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan warga asing dikesan merekrut remaja dan pelajar IPT di negara ini.

Bagi banyak pihak isu JI seperti juga gelombang wahabi diuar-uarkan dengan harapan ada pemimpin pembangkang yang boleh dikambing hitamkan.

”Apabila hari-hari rakyat bercakap isu JI, akhirnya mereka lupa hendak datang demontrasi aman membantah kelulusan lesen judi bola sepak 3 Julai ini di Kuala Lumpur.

”Bila ramai tidak datang maruah perdana menteri tidak tercalar sangat,” kata seorang guru pencen.
Peristiwa aib yang menimpa perdana menteri ketika datang ke Kelantan minggu lepas perlu dibersihkan. Karnival Kelantan Fiesta 2010 yang dijadualkan dirasmikan perdana menteri pada malam 16 Jun lalu tiba-tiba ditukar haluan.

Perdana menteri terbang balik ke Kuala Lumpur ketika hujan lebat membasah bumi Kelantan. Akhirnya tinggal Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di dalam stadium.

Lebih mengaibkan lagi apabila hanya sekitar 300 orang yang hadir, biar pun program itu dikatakan mahu disiarkan secara langsung melalui RTM.

Isu JI nampaknya seperti cuba dikaitkan dengan wahabi, apabila beberapa ulama menjadi mangsa.
Ekoran itu tampil Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mereka terbabit dengan wahabi.

Sedangkan beberapa hari sebelum itu ada dakwaan Asri kononnya akan menyertai Umno.
Laporan media baru sebelum ini menyebut polis memberi taklimat keselamatan negara mengaitkan wahabi dan kumpulan pengganas JI.

Selain itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikaitkan sama.Isu JI nampaknya bertambah rumit.

Namun situasi sebaliknya berlaku di Kelantan apabila Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat mendakwa terdapat usaha licik bagi menggambarkan Kelantan juga lubuk wahabi.

”Saya diberitahu ada agensi kerajaan milik persekutuan yang menaja kursus-kursus di kalangan pegawai agama di negeri ini di Kuala Lumpur dengan memberi gambaran pemimpin PAS Kelantan sebagai pendokong wahabi.

”Gerakan itu difahamkan didalang ulama luar yang cuba menggambarkan pemimpin Kelantan wahabi,” katanya pada persidangan Dun baru-baru ini.

Persoalannya sekarang adakah JI itu sebagai bayangan wahabi atau wahabi itu pula pengganas. Lalu dicarinya JI di sebalik tabir wahabi, akhirnya hanya ditemui seorang dua ulama muda.

————————————————————————————————

Gula oh gula
 
Oleh Aslani Mulhiq
1.Jun.2010  - KAK Inah menjelajah beberapa kedai di sekitar Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai, namun sebutir gula pun tidak ditemui. Puas suaminya menunggu dia merayap di beberapa kedai, semuanya hampa.

Hanya ada perkataan ditulis di kertas A4 dengan dakwat Artline, ‘Gula Habis’.

Sabtu lalu (22 Mei) Jalan Pasir Hor dekat Kota Bharu sesak teruk. Suasana seperti musim cuti persekolahan. Ramai pengguna jalan raya hairan kerana tidak pernah mengalami kesesakan begitu ketara di luar musim perayaaan.

Seorang peniaga di situ memberitahu Kak Inah, rupa-rupanya lori panjang sedang menurunkan gula di sebuah kedai borong milik tauke Cina.

Beberapa minggu lalu, media melaporkan pasangan suami isteri muda di Terengganu terpaksa bergegas pulang ke rumah mendapatkan sijil nikah semata-mata untuk membeli sekilogram gula.

Perkara yang tidak pernah masuk akal sebelum ini boleh berlaku sekarang. Isu gula sudah berlarutan dalam tempoh begitu lama.

1Malaysia gagal menyelesaikannya. Nampaknya rakyat seperti tidak lagi didahulukan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob acap kali mendakwa bekalan gula mencukupi.

Sedangkan rakyat terpaksa berbaris panjang bagi mendapatkan 2 kg gula. Maka tidak hairanlah ada bapa, ibu, anak masuk pasar raya serentak. Kalau tiga orang bermakna dapat membeli 6 kg gula.

Namun, sehari dua ini tempat longgokan gula di pasar raya pun kosong. Ramai jurujual ketika ditanya hanya mengeleng kepala. Mereka pun tidak tahu bila bekalan gula sampai.

Makcik Zarah yang mengusahakan kuih muih tidak lagi dapat berniaga seperti biasa. Banyak hari dalam seminggu kedainya ditutup.

”Biar pun sukar mendapatkan gula, namun harga kuih yang dijual tetap sama. Masih lagi RM1 empat biji. Kita tidak tergamak hendak naikkan harga,” katanya di sini.

Hajah Sepiah yang akan melangsungkan perkahwinan anaknya pada musim cuti persekolahan Jun ini, seperti sudah hilang ikhtiar.

Dia sudah berminggu-minggu keluar mencari gula bersama suami dan anak-anak, namun gula yang ada belum mencukupi untuk menampung keperluan kenduri.

Gula diperlukan untuk masakan dan menyediakan pemanis air batu. Kalau dimasak sira labu tentunya agak banyak gula diperlukan. 

Namun semuanya itu menteri buat tidak tahu. Menteri yang menjaga hal ehwal pengguna silih berganti, namun masalah gula gagal diselesaikan.

Sebelum ini ramai orang bercakap gula Malaysia diseludup ke negara jiran. Bayangkan harga gula di sana hampir RM3 sekg. Sedangkan di sini harga kawalan RM1.65 sekg.

Ini bermakna penyeludup dapat untung berkali ganda. Menurut laporan media Pasukan Gerakan Marin (PGM) mendakwa terdapat lebih 10 stor pemborong gula di tebing Sungai Golok sepanjang 15 km di Tumpat.

Setiap satu stor mampu menyimpan antara 10,000 kg hingga 15,000 kg.
Menurut PGM gula Malaysia didapati berlambak di negara jiran. Sedangkan rakyat sendiri sukar mendapatkannya.

Apakah kera di hutan disusu, anak sendiri mati kelaparan.

Tetapi kata makcik Zarah negeri-negeri yang terletak jauh dari sempadan pun menghadapi masalah sama.   

Persoalannya mengapa kerajaan gagal mengatasi masalah itu sehingga berlanjutan dapat tempoh begitu lama. Berdasar apa yang berlaku sekarang Kementerian Perdagangan nampaknya sukar untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi menepati teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

 Sedangkan KPI menjadi indikator kebanggaan kerajaan 1Malaysia sejak ia dilancarkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak pada 27 Julai 2009.

Ismail Sabri yang pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan ternyata gagal menangani isu gula. Begitu juga dengan harga bahan binaan yang semakin melambung sekarang.

Sebelum ini kekurangan bekalan simen menjadi bebanan kepada rakyat, namun akhirnya selesai setelah kerajaan menghapuskan harga siling.

”Harga simen sekarang berbeza di kedai-kedai hardware. Ada yang jual RM17.50 dan ada juga RM18. Kalau sebelum ini RM16 sekampit,” ujarnya seorang tukang rumah.

Sehingga ke hari ini nampaknya Ismail Sabri berkeras mempertahankan harga gula RM1.65 sen sekg, biar pun bahan itu sukar didapati di pasaran.

”Tidak ada makna mempertahankan harga seperti sekarang kalau gula hendak dicari di pasaran pun sukar. Mana lebih baik harga agak munasabah tetapi bekalan tidak bermasalah.

”Harga bahan mentah meningkat di seluruh dunia. Pengilang sudah lama merunggut, namun menteri buat seperti lembu kenyang. Ada sebuah kilang gula dijual kerana tidak mampu menampung kos operasi,” kata seorang pegawai di sebuah agensi kerajaan.

Pegawai itu menganggap politik ekonomi yang diamalkan kerajaan 1Malaysia tidak mengena. Dia memberitahu kerajaan lambat bertindak menangani masalah ekonomi berbanding isu politik.

Kerajaan 1Malaysia sanggup menjaja projek jutaan ringgit di setiap kempen pilihan raya, sedangkan masalah sekecil gula tidak selesai.

Kerajaan tidak mahu menaikkan jumlah subsidi bagi membantu pengilang gula, sedangkan duit rakyat digunakan mengumpankan wakil-wakil rakyat KeADIlan.

Tanyalah kepada Dato’ Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng, Mohsin Fadzil Samsuri, Wee Choo Keong, Mohd Osman Jailu, Mohd Radzi Salleh, Badrul Hisyam Abdullah dan Tan Wei Shu berapa mereka dapat setelah mengisytihar keluar parti.

Kehidupan mereka sudah banyak berubah, ketika rakyat letih mencari sekilo gula. 

———————————————————————————————————————————————

Politik nyawa ikan di Kelantan mampu bertahan

Oleh ASLANI MULHIQ

23.Mei.2010 – SEORANG jiran usia 56 tahun, pada hari Sabtu minggu lepas tidak nampak pun ada reaksi sakit. Tubuh badannya kelihatan sihat, biar pun dia memberitahu menghidapi darah tinggi.

Pagi keesokan harinya dia rebah di sebuah madarasah ketika mengikuti kelas al Quran. Dan malam hari yang sama dia pergi dan tidak kembali lagi.

Dua minggu sebelum itu, seorang pegawai kerajaan membetulkan paip air di belakang rumahnya selepas pulang bekerja.

Sebelum itu jiran-jiran melihat dia ada di madrasah solat berjemaah ketika pulang waktu rehat tengahari. Ketika membaiki paip di belakang rumah, tiba-tiba dia mengadu sakit dada kepada isterinya.

Tidak lama selepas itu dia pergi juga tidak kembali lagi. Usianya 41 tahun. Ketika ambulans sampai dia sudah tidak bernyawa lagi.

Dua peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata. Kata orang, ia tidak dijangka. Samalah dalam situasi apa sekalipun. Lebih-lebih politik, yang serba boleh jadi.

Menang pilihan raya kerana menentang Barisan Nasional (BN). Tiba-tiba tidak lama kemudian tergila-gila pula kepada Umno dan BN.

Kata orang kampung kalau mereka bertanding menggunakan lambang dacing, tentu tidak menang. Samalah dengan Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas, menang kerana lambang bulan.

Begitu juga Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng, Mohsin Fadzil Samsuri, Wee Choo Keong, Mohd Osman Jailu, Mohd Radzi Salleh, Badrul Hisyam Abdullah dan Tan Wei Shu, mereka dipilih rakyat kerana bertanding menggunakan lambang KeADILan.

Begitu juga dengan Hee Yit Fong menang kerana tuah DAP.

Mereka tentunya tidak dipanggil YB kalau bertanding menggunakan lambang dacing atau Bebas. Namun tidak ramai yang menjangka mereka membuat u-turn di jalan lurus.

Mereka tidak dijangka tiba-tiba tampil dengan kejutan. Namun, ramai penyokong Pakatan Rakyat menolak andaian itu.

”Saya diberitahu Choo Keong ditawar lebih RM10 juta. Tawaran itu sejak tahun lepas sudah kedengaran. Namun menjelang pilihan raya Sibu duit yang dijanji khabarnya baru dimasuk akaun.

”Begitu juga Haji Mohsin, khabarnya diumpan RM1 juta, namun hanya 10 peratus sahaja yang diserah selepas mengisytiharkan keluar KeADILan.

”Selebihnya 90 peratus lagi menjadi milik agen,” dakwa seorang pemimpin muda KeADILan dari Kuala Krai.

Situasi serupa itu sebenarnya lebih hebat menghujani wakil-wakil rakyat PAS ketika kerajaan Kelantan berada di hujung tanduk pada 2004 – 2008.

Bekas Adun Kemuning, Zakaria Yaakob ditawar duit tunai RM400,000 yang dibawa ke rumahnya di Labok, Machang pada pagi 4 Mac 2006.

Sebelum itu ditawarkan RM5 juta. ”Paling mendebarkan pada peringkat awal penjumlahan undi saya diumumkan mendapat majoriti 24 undi.

”Namun dalam tempoh 24 jam bilangan undi dilakukan sekali lagi. Dan kiraan kali kedua saya dibisikkan hanya menang dengan majoriti dua undi.

”Ketika itu saya diberitahu ada arahan dari pihak atasan supaya diumumkan saya kalah dua undi. Namun pegawai pengurus pilihan raya tidak mahu bersubahat kerana perbuatan itu berdosa. Dan akhirnya saya diumumkan menang dua undi,” katanya di sini.

Adun Temangan, Datuk Hassan Muhamad pula diumpan dengan tawaran lumayan supaya melompat parti. Tawaran itu dibuat di atas sebuah masjid di Kota Bharu. Namun beliau tidak layan dan akhirnya agen berkenaan lari meninggalkan masjid.

Situasi serupa juga berlaku ke atas Datuk Mohamad Daud (Demit), Drs Zainuddin Awang Hamat (Limbongan), Dato’ Nasuruddin Daud (Meranti), Hassan Mahmood (Tawang) dan Buniamin Hamzah (Salor).

Ketika itu kerajaan PAS Kelantan begitu genting, kata orang kampung nyawa-nyawa ikan. Cuba bayangkan kedudukan kerusi di Dun antara PAS dan BN iaitu 23 vs 22.

Namun di Kelantan tidak ada wakil rakyat seperti Zahrain, Tee Beng, Mohsin, Choo Keong dan rakan taulannya yang lain.

”Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah hanyalah hamba-hambaNya yang ulama (berilmu). Sungguh Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana (35:28)”.

Manusia sekadar berusaha tetapi segala keputusan kekal menjadi hak Allah.

Dua insan yang dikenali tadi tiba-tiba dipanggil mengadap Illahi, tidak ramai yang jangka kerana mereka sihat dan tidak nampak reaksi sakit.

Mungkinkah pula 11 wakil rakyat yang tiba-tiba membuat kejutan meninggal kawan tanpa dijangka. Mereka juga tidak kedengaran sakit dan masih sihat, sebelum berhijrah meninggalkan parti yang memberi ruang untuk mencari rezeki.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Sibu, 16 Mei lalu. Tiada sesiapa pun yang menjangka calon DAP Wong Hong Leng mampu menewaskan Robert Lau Hui Yew.

Sedangkan Robert Lau dikenali kaya raya di mana keluarganya memiliki empat akhbar iaitu Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua Daily dan Oriental Daily.

KTS Group dikuasai keluarga calon BN itu. Sepatutnya Robert Lau boleh menang mudah kerana ’tiga M’ dimonopolinya. Money, Machinery dan Media ada di bawah kekuasaan Robert Lau.

Calon DAP, Ho Leng apa yang ada. Sama juga dengan PAS dan KeADILan tiga M tiada pada sisi mereka. Money hanya ada di dalam poket ahli. Machinery hanya pada tenaga penyokong. Dan media sekadar medium ceramah.

Suara dan wajah Robert Lau boleh menembusi rumah-rumah panjang di pedalaman Sibu. Kempen dan senyum meleret Robert Lau boleh ditonton di kaca televisyen.
Ho Leng, usah harap wajahnya boleh keluar televisyen, sebaliknya ceritanya banyak dimanipulasi.

Namun, siapa sangka, pengundi Sibu berani membuat kejutan. Pengundi di pedalaman Sungai Rassau, Nangka Tutus, Sungai Pasai, Sungai Pinang, Rumah Basseh dan Boi Ing mulai berjinak dengan Pakatan Rakyat.

Undi majoriti yang dipertahankan BN sejak zaman berzaman telah mulai robek. DAP dan Pakatan Rakyat sudah sudah menyinap jauh ke pedalaman Sarawak.

DAP memperolehi 18,845 undi mengatasi BN dengan majoriti 398 undi. Calon Bebas Narawi Haron hanya mampu meraih 232 undi dan hilang wang pertaruhan.

Siapa sangka ketika setiap anggota kabinet Najib menyelusuri setiap jalan, lorong dan sungai di Sibu, tiba-tiba pengundi Sibu berani membuat kejutan.

Benarlah apa yang ditelah sebelum ini, BN girang di Hulu Selangor, akhirnya menangis di Sibu.

Di Hulu Selangor siapa jangka bekas menteri yang dipertaruhkan, Datuk Zaid Ibrahim boleh tewas kepada Kamalanathan, seorang tidak dikenali.

Sepatutnya seperti dalam situasi Bagan Pinang, calon yang hebat dan dikenali ramai seperti Tan Sri Isa Samad boleh menang. Zaid jauh lebih popular berbanding Kamalanathan.

Namun itulah dinamakan kejutan, ia berlaku tanpa ramai yang mampu menjangka. Kejutanlah yang menyebabkan suasana politik negara terus hangat. Ia berpangkal tsunami Mac 2008.

Politik yang tidak dijangka itu membuat Umno dan BN terkejut panjang. Maka bagi meredakan jantung yang sudah lama berombak, diumpankan tiga Adun Pakatan di Perak. Dan umpan itu mengena.

Episod kejutan demi kejutan itulah menyebabkan Tan Sri Taib Mahmud nampak celaru menentukan pilihan raya negeri. Sedangkan iddah akhir pada Julai 2011.

Biar pun beliau menafikan BN kalah di Sibu disebabkan undi protes, namun Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengakui jentera pilihan rayanya tidak bertenaga. ”Inilah menyebabkan BN kalah di Sibu,” kata Najib seperti menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa pun Taib paling malang dalam episod ini, selepas kehilangan Puan Sri Laila, kini Sibu pula hanyut di Sungai Rejang. Nampaknya Taib dan Najib menangis lagi.

—————————————————————————————————-

Pemburu upahan tersasar peluru

Oleh : Aslani Mulhiq
15.Mei.2010 : – CERITA ustaz seorang pencuri hendak masuk rumah seorang tok guru, namun pintunya tidak ditemui. Dia mundar mandir di halaman rumah dari malam sampai pagi. Akhirnya keesokan hari dia ditemui jemaah yang datang ke masjid sedang berenang dalam kolah.
Biar pun kolah tempat air wuduk agak sempit dan kecil, namun dia tidak dapat keluar. Tok guru datang lalu ditepuk belakang si pencuri tadi, barulah dia sedar dan melompat keluar dari kolah.
Dia mengurut dadanya sambil mengucap panjang. Kemudian diceritakan kisah sebenar sehingga tahulah orang kampung dia datang hendak mencuri rumah tok guru. Akhirnya dia insaf dan meninggal kerjaya lama sebagai pencuri.
Sebenarnya banyak kisah alim ulama yang mempunyai keramat. Orang yang menuntut ilmu dengan tok alim di pondok zaman lampau berebut-rebut mahu menjadi khadam kepada tok guru.
Namun sekarang, generasi alaf baru seperti sudah lupa. Malang sekali sehingga ada pemuda yang sanggup menulis mahu membunuh seorang alim.
Seorang pemuda yang bernama Safuan Hilmi menulis dalam facebooknya ”tunggu aku p bunuh nik aziz. Aku sanggup dihukum gantung jika aku dapat bunuh Nik Aziz,”.
Nampak bunyi macam kurang normal. Namun dia seperti lupa, Tok Guru Nik Aziz bukan sekadar seorang pemimpin PAS, sebaliknya tokoh ulama disegani di dunia Islam.
Tok Guru Nik Aziz menduduki senarai tokoh Islam dunia. Beliau tersenarai antara 500 tokoh Islam berpengaruh dunia dalam bidang siyasah kenegaraan.
Alimnya tidak mampu dipertikaikan. Hujahnya tidak mampu dipatah. Namun berani sungguh budak lelaki terbabit. Dia tidak cuba belajar dari sejarah yang berlaku terhadap si pencuri seperti dipapar di awal cerita.
Ekoran catatan sembrono Safuan di luar kotak waras di facebook, akhirnya membawa dia ke Balai Polis. Pemuda PAS di beberapa tempat dan PAS Pengkalan Chepa membuat laporan polis terhadapnya.
Kedudukan Tok Guru Nik Aziz sebagai tokoh penting dalam politik negara tidak mampu disangsikan. Ada pemimpin Umno sebut, usah harap parti itu dapat menawan Kelantan selagi ada Nik Aziz.
Biar pun cakap-cakap seperti itu dianggap sebagai strategi Umno, namun kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz diakui sukar diganggu gugat.
Usaha seorang blog melodeh keluarga Menteri Besar Kelantan dengan isu tajaan haji dan masalah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), namun belum kelihatan kes itu mampu dibawa ke muka pengadilan.
Malah ada pemimpin PAS yang cuba mengingatkan ahli parti supaya bersiap sedia kerana Tok Guru Nik Aziz sudah berusia dan uzur, namun ramai marah dengan kenyataan tersebut.
”Buat apa sebut kenyataan seperti itu sehingga media pula terpaksa memburu Tok Guru Nik Aziz mendapatkan penjelasan. Tiada untungnya biar pun kenyataan terbabit nampak ada sedikit kejujuran,” kata seorang wartawan.
Ekoran kenyataan tersebut juga PAS Kuala Krai dan Pengkalan Chepa pada mesyuarat agung baru-baru ini mahu Tok Guru Nik Abdul Aziz terus kekal sebagai ketua kerajaan sehingga akhir hayat.
Biar pun ada kebenarannya ahli dan penyokong PAS akan berdepan dengan situasi PAS Kelantan tanpa Tok Guru Nik Aziz selepas ini, namun pandangan tersebut belum enak didengar.
Tok Guru Nik Aziz berjaya membina legitimasi yang kukuh kerana politik Islam yang diketengahkan. Sudah 20 tahun Umno Umno membuat kenyataan mampu merampas Kelantan, namun akhirnya PAS juga bertakhta di hati rakyat.
Biar pun disogok dengan agenda pembangunan dan dijaja Kelantan mendapat RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, namun umpan itu kurang berkesan.
Begitu juga dengan pertukaran Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tengku Razaleigh, kemudian Datuk Seri Mustapa Mohamed, Tan Sri Annuar Musa dan Mustapa sekali lagi, namun mereka gagal melemahkan Tok Guru Nik Aziz.
Ketika Umno lelah mencari strategi akhirnya senjata percuma ditemui. Penulis blog yang pernah rapat dengan pemimpin PAS Kelantan menjadi senjata biologi bagi Umno sekarang.
Lalu diberi ruang begitu luas dalam akhbar Melayu sejati kepada penulis blog terbabit. Dilodehnya satu demi satu kisah di sebalik ’selimut’ yang berlaku di Kelantan.
Biar pun dia muncul sebagai hero RM4 juta, apakah pada masa depan taktik terbabit boleh membantu memenangkan Umno di Kelantan, atau setidak-tidaknya disanjung macam Prebet Ramli yang meninggal akibat kemalangan.
Tengok apa yang sudah menimpa Senator Ezam Mohd Nor setelah meninggalkan perjuangan kebenaran. Cakapnya dalam program Hujah terbitan TV9 malam Rabu lalu, tidak mencerminkan sebagai pejuang tulen. Idealisma politiknya seperti hambar.
Rata-rata makcik dan pakcik di kampung yang mendengar hujahnya menjadi tawar. Ada yang mengantuk, terlintup di atas kerusi.
”Tiada lagi kehebatan yang mampu dibanggakan apabila duit mengatasi kebenaran,” kata pakcik Dollah Kayu sambil mencubit roti canai di Kedai Jali di Jalan Telipot.
Pendedahan RM4 juta oleh Blogger yang pernah mencari rezeki dengan kerajaan Kelantan seperti mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih.
Jangan pula dikata orang, niat hati hendak peluk gunung apakan daya tangan tak sampai.
Kemunculannya menjadi bahan berita jenaka seminggu dua ini, namun PAS dan Tok Guru Nik Aziz tidak pula kelihatan goyah.
Tiada warna baru politik di Kelantan biar pun seorang blogger tampil menyinga, mengheret kuku yang sudah patah.
Kata Pakcik Dollah Kayu kehadiran bloger seperti itu jauh sekali mampu mewarnai politik kedai kopi di Kelantan. Umno tidak perlu menanti peluru kapur dari senapang yang sudah berkarat.
Semua sandiwara itu seperti pelakon upahan. Lucunya tiada, rugi ada.

——————————————————————————————————–

Peneroka Felda amin doa Kamalanathan

Oleh Aslani Mulhiq

ISNIN – 3.MEI - “Eloklah orang Melayu di kawasan Felda di Hulu Selangor menjemput wakil rakyat baru datang tahlil apabila ada yang meninggal dunia.

“Tak kan peneroka Felda mengharap doa dibaca Kamalanathan,” ujar Nik Rahim bekas kakitangan kerajaan.
Dia membebel panjang ketika turun dari tangga madrasah sehari selepas pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Lebih RM100 juta projek disogok pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk di Hulu Selangor
menjelang 25 April lalu.

Jauh mengatasi janji pembangunan di Manek Urai hanya sekadar RM8 juta dan di Bagan Pinang bernilai RM50 juta. Di Manek Urai janji jambatan baru berharga RM7 juta, kompleks sukan di Kampung Manjor (RM300,000) dan membaiki masjid di Kampung Temalir (RM600,000).

Di Bagan Pinang janji membina sekolah baru RM20 juta, membaiki 21 sekolah Cina dan Tamil (RM3.8 juta), pusat Permata Negara (RM400,000) dan peruntukan kepada Chinese Vernacular School (RM480,000).

Kata orang kampung janji hanya manis di mulut. Hari ini entah di mana jambatan dan kompleks sukan baru di Manek Urai. Begitu juga sekolah baru di Bagan Pinang. Sedangkan pilihan raya di Manek Urai sudah hampir setahun berlalu.

Kalau Manek Urai kawasan hulu yang sebahagian besar berbukit bukau penduduknya masih masih sangsi dengan segala janji itu, maka amat malang bagi pengundi di Hulu Selangor yang terletak di pinggir bandar. Dan tidak jauh dari Kuala Lumpur.

Kata Nik Rahim, orang Melayu di Manek Urai nampak lebih faham politik berbanding Melayu di Hulu Selangor.
Biar pun segala teori dan strategi politik cuba dirumus bagi menghadapi lawan pada pilihan raya kecil, namun semua itu hancur lebur apabila teori umpan dan pancing digunakan.

Teori itu sudah berakar umbi sejak awal ketamadunan manusia. Duit, projek dan kuasa umpan mujarab bagi menarik sesiapa sahaja. Kalau di barat ada satu lagi elemen iaitu seks.

Sample kepada analisis itu berlaku secara terang-terangan di Manek Urai. Ramai penduduk mengaku menerima sehingga RM2,000 dalam satu suapan dari agen parti pemerintah.

”Sehari selepas pilihan raya kecil itu ramai penduduk kampung datang ke bandar Kuala Krai. Ada yang keluar masuk kedai emas dan anak muda pula tukar sport rim kereta,” kata Mamat seorang pemuda kampung.

Inilah kuasa pemikat sebenar dalam pilihan raya kecil. Kelantan yang dikatakan sebagai kubu kuat PAS, juga tidak mampu untuk menghadapi teori sogok dalam pilihan raya kecil.

Ini terbukti PAS gagal dalam pilihan raya kecil di Semerak dan Pengkalan Pasir. PAS hanya menang tipis di Pulai Chondong dan Manek Urai.

Di Hulu Selangor trend pengundian masyarakat India sudah beralih kepada BN. Berlaku peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding pilihan raya umum 2008.

Estet Niger Garden dan Bukit Teratai berjaya dirampas kembali MIC. Ternyata janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan masalah tapak Kuil Sri Mahamariaman di Kalumpang menjadi pengikat hati mereka.

Penduduk India lupa geran tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun ternyata umpan duit dan projek berjaya menjinak hati mereka.

Lebih malang lagi apabila pengundi Melayu yang membentuk 53 peratus majoriti di Hulu Selangor merelakan kaum minoriti menjadi ketua. Sedangkan kaum India hanya 19 peratus di situ.

Teori pengagihan kerusi itu sepatutnya dipertikaikan Pertubuhan Peribumi Perkasa Pertubuhan Malaysia (PERKASA) kerana ia ditubuh bagi memperjuangkan nasib orang Melayu.

Namun apa yang berlaku di Hulu Selangor PERKASA gagal menterjemahkan apa yang diperjuangkan. Teori pengagihan kerusi diamalkan BN banyak merugikan masa depan orang Melayu.

Teori yang digunapakai dalam Pakatan Rakyat nampak lebih kemas. Pengagihan kerusi berdasar kepada Lihat kelompok kaum mana yang lebih besar.

Apa yang berlaku di Sibu memandangkan 67 peratus pengundi Cina, maka kerusi itu ditandingi DAP. Pengundi Melayu/Melanau pula sebanyak 20 peratus, Iban (18 peratus) Orang Hulu (1.1 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus) di Sibu.

Penghijrahan masyarakat Cina ke Sibu dikatakan bermula pada 1901 ketika Sarawak diperintahan Rajah Charles Brooke. Mereka berasal dari Fukien, China.

Parlimen Sibu mengandungi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka. Bawang Assan didominasi 65 peratus pengundi Iban, Pelawan (Cina – 91 peratus) dan Nangka (Melayu/Melanau).

Pengundi yang berdaftar seramai 54,695 termasuk 2,537 pengundi pos. Antaranya 1,910 anggota tentera dan 627 polis yang bertugas semasa pilihan raya berlangsung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan 45 pusat mengundi termasuk sekolah, tadika, pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan dan pusat rekreasi awam.

Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dijalankan di Pejabat Daerah Sibu.
Pilihan raya kecil Sibu merupakan siri ke-11 selepas pilihan raya umum Mac 2008. Siri pilihan raya kecil dimulakan di Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan terakhir di Hulu Selangor 25 April lalu.

Berdasarkan jumlah pilihan raya kecil itu BN hanya mendapat agregat 3-7 berbanding Pakatan. Dalam siri pilihan raya kecil peringkat parlimen BN hanya menang di Hulu Selangor dan Pakatan menjadi pilihan di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Kedudukan agregatnya ialah 3:1.

Atau mungkinkah jurang dapat dirapatkan kepada 3:2 sekiranya Sibu berjaya dikekalkan BN melalui Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Namun BN tidak boleh memandang enteng kerusi parlimen Sibu memandangkan DAP pernah mencipta kejutan pada 1982 melalui Ling Soe Ming.

Beliau menewaskan Tan Sri Dr Wong Soon Kai yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

Rekod lama tersebut membuatkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Taib Mahmud risau memanjang. Kalau diambil kira petunjuk di Hulu Selangor pengundi Cina hanya condong kepada BN hanya sekitar 28 peratus, sedangkan selebihnya kekal bersama Pakatan.

“Tidak mustahil Sibu yang dihuni lebih 65 peratus pengundi Cina akan memberikan kemenangan kepada Pakatan bagi mengukuhkan suara masyarakat Sarawak yang tertindas sejak sekian lama,” ujar seorang pemimpin Pakatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sekiranya sentimen di Semenanjung sama dengan Sarawak, BN berdepan laluan sukar di Sibu.

Kenyataan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali kononnya pengundi Cina ‘tidak sedar diri’ kerana menolak BN di Hulu Selangor menjadi modal besar di Sibu.

Tambahan pula kehadiran Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) sebagai anggota baru Pakatan.
Hadirnya Snap membantu DAP tambah merimaskan Najib dan Taib. Cabaran Pakatan di Sibu dipikul Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng. Beliau berdepan dengan Robert Lau Hau Yew (SUPP).

Berdasar rumusan itu mungkin ketawa BN di Hulu Selangor bertukar hiba di Sibu. Tanggal 16 Mei ini menjadi penentu.

——————————————————————————————————–

Zaid bawa tuah Kelantan ke Hulu Selangor

Oleh Aslani Mulhiq
24.April.2010 – “SAYA mungkin memilih untuk bertanding di Selangor dan tidak lagi di Kelantan. Rumah tangga saya di sana.

“Saya pun sudah lama mencari rezeki di Selangor dan Kuala Lumpur,” ujar ringkas Datuk Zaid Ibrahim ketika ditanya kerjaya politiknya selepas meninggalkan Umno.

Beliau ditemui pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai pada Julai 2009.

Zaid hadir sama pada penamaan calon tersebut bagi memberi sokongan kepada Mohd Fauzi Abdullah.
Dengan rambut yang sudah banyak berubah menjadi putih di kepala, kelibatnya mudah dikenali. Mimik wajahnya mudah tersenyum, biar pun ada orang kata nampak macam masam.

Sepajang kempen pilihan raya itu Zaid memerah tenaga berkempen membantu calon PAS. Banyak kampung beliau jelajahi siang dan malam.

Begitu juga ketika pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009. Kehadiran Zaid ketika itu mengejutkan banyak pihak.

Dua pilihan raya tersebut Zaid tampil membantu PAS. Pengalaman bersama Umno dicurah kembali untuk dinilai pengundi. Akhirnya rakyat membuat keputusan menolak BN pada kedua-dua pilihan raya tersebut.
Itulah jasa awal Zaid kepada PAS, biar pun pernah mimpi berlainan sebelum ini. Biar pun ketika masih berstatus menteri semasa kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi, ramai pemimpin PAS dijemput ke rumahnya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sekali bertandang ke rumahnya. Begitu juga pemimpin PAS yang lain.

Inilah uniknya Zaid, biar pun masih kuat mendokong Umno namun pada dirinya mungkin tiada istilah lawan. Setiap kali kenduri kendara di rumahnya di Pasir Hor dekat Kota Bharu pemimpin PAS tidak pernah dilupakan.

Sedangkan situasi itu kelihatan sukar dipratik pemimpin Umno lain di Kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah hadir ke rumah Tan Sri Annuar Musa di Bukit Marak, itu pun ketika menziarahi ibunya yang meninggal dunia.

Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Husin jauh sekali untuk melakukan adegan seperti Zaid. Inilah kelebihan Zaid yang tidak ada pada pemimpin Umno lain.

Ketika berjuang di atas platform Umno sekalipun, jiwanya tidak diserah sepenuh raga. Masih ada ruang di sudut hatinya untuk mencari keadilan sebenar.

Maka amat rugilah bagi penduduk di Hulu Selangor sekiranya terpengaruh dengan segala tomahan murahan pihak lawan. Isu kaki botol, ada kuda lumba, kaki judi dan saman hudud semuanya perkara usang yang dibangkit semula.

Seperti kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali boleh dikatakan semua Perdana Menteri meneguk arak kecuali Pak Lah.

Kisah pemimpin Umno minum arak, kaki perempuan dan mengunjungi dangdut usah cerita lagi. Maka tidak hairanlah ramai pemimpin Umno yang berebut artis.

Terbaru anggota parlimen BN di Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mempamerkan isterinya seorang artis, Zizie Ezzete. Kalau di Sarawak Datuk Affendi Norwawi juga berkahwin dengan artis.

Begitu arwah Megat Junid Megat Ayub dan ramai lagi. Kalau dibanding dengan Zaid, jauhlah Zaid ada integriti moral.

Isteri Zaid, Datin Suliana Shamsuddin Alias juga sekarang sudah jauh berubah. Sedangkan isteri Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datin Maznah Rais ketika bersama Semangat 46 bertudung litup, sekarang kepala bergerbang.
Lagak isteri Rais tidak jauh beza dengan Datin Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

Maka ketika Zaid dan keluarga berhijrah ke arah kebaikan, mengapa perlu diungkit kisah lama.
Ketika zaman kebangkitan Islam, Rasulullah saw menyebut “siapa berlindung di rumah Abu Sofian dia dijamin selamat.” Sedangkan Abu Sofian telah lama memusuhi Nabi SAW.

Begitu juga Saiyidina Omar al Khattab dan Khalid Al Walid ketika belum Islam Nabi Muhammad SAW menjadi musuh mereka. Namun selepas memeluk Islam mereka pula berada di barisan depan memperjuangkan Islam.
Penduduk Hulu Selangor tidak perlu keliru, kerana mereka bukan tinggal di Nenggiri, Gua Musang atau Kuala Balah, Jeli sehingga gagal membezakan kisah lama dan cerita baru.

Banyak kawasan di Hulu Selangor boleh diakses internet. Penduduk juga boleh melihat ada gambar pemimpin Umno yang teguk arak dan berkepit perempuan di kelab dangdut.
Kalau sekadar body yang menjadi ukuran, Zaid sudah jauh berubah.

Di Kota Bharu kalau disebut nama Zaid, penarik beca dan orang kurang upaya (OKU) kenal sangat dia.
Popularnya Zaid kerana beliau memperjuangkan rakyat marhaen. Yayasan Orang Kurang Upaya (Yokuk) yang terletak di Padang Tembak, Pengkalan Chepa diasas Zaid.

Biar pun lebih 30 tahun tinggal di bandar raya metropolitan jiwa kampung masih membaluti dirinya. Zaid dilahirkan di Kampung Chap, Bachok enam tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Kehidupannya susah kerana kedua ibu bapa bercerai. Beliau tinggal dengan neneknya yang dikenali sebagai Sepiah.

Sepiah yang dipanggil Tok Wa menanam padi untuk menyara kehidupan keluarga. Beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak yang terletak kira-kira 6 km dari rumah Tok Wa.

Ayahnya Ibrahim Awang hanya kerja kampung, kemudian berhijrah ke hulu Kelantan membuka tanah hutan. Ayah dan emaknya selepas berpisah berkahwin lain.

Hasil perkahwinan itu Zaid mempunyai 11 adik beradik. Inilah selengkar kehidupan Zaid yang kini sedang berjuang bersama penduduk Hulu Selangor.

Zaid berlainan jauh berbanding Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Hishamuddin Hussin kerana mereka golongan bangsawan.

Maka perjuangan di Hulu Selangor lebih serasi dengan Zaid dan bukan Najib, Muhyiddin atau Hishamuddin.
Hanya orang pernah merasai erti derita dan susah dapat menyelami denyut nadi penduduk Hulu Selangor. Zaidlah hero baru yang akan jatuh bangun bersama mereka.

——————————————————————————————————

Zaid Ibrahim di jiwa rakyat marhaen
Oleh Aslani Mulhiq

AHAD,18.APRIL.2010 : – SEORANG pemuda kurang upaya, Ruslan Ismail dari Pulau Seratus, Tumpat memberitahu dia kenal sangat siapa Datuk Zaid Ibrahim.

Begitu juga penarik beca di Kota Bharu. Anak-anak istimewa yang ditakdirkan lahir sindrom down turut menyayangi Zaid. Ini kerana ada persatuan khas diwujud Zaid untuk membantu mereka. Ia dikenali sebagai Yayasan Orang Kurang Upaya (Yokuk).

Tidak sedikit duit Zaid dicurah di Yokuk. Yokuk ada pejabat di Pengkalan Chepa menawarkan khidmat latihan dan motivasi kepada OKU. Ada kenderaan khas membawa mereka berulang alik ke Yokuk.

Penarik beca lain juga kenal Zaid kerana sering menerima bantuan. Setiap tahun pasti ada perjumpaan dengan penarik beca. Bukan sekadar makan, ada buah tangan diberi untuk dibawa pulang.

Maka Zaid popular di kalangan golongan marhaen. Sedangkan pemimpin Umno lain di Kelantan juga ramai yang kaya raya, namun tidak ada yang berjiwa luhur seperti Zaid.

Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) yang ditubuh Tan Sri Annuar Musa awal 1990-an bertujuan membantu orang miskin. Hari ia tidak lagi menjadi sebutan ramai.

Hanya pejabat sahaja yang gah di Peringat. YKK tenggelam bersama Annuar yang hilang dalam arus politik perdana.

Sebenarnya bintang Zaid dalam Umno cerah kalau tidak ’dicah’ keting Ketua Umno Kota Bharu sekarang, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Ketika mesyuarat pemilihan di peringkat cawangan Umno pada 2008, banyak cawangan yang mencalon nama Zaid tiba-tiba diisytihar bermasalah. Difahamkan pelbagai alasan teknikal diberi Fatmi bagi menggantung cawangan berkenaan.

Hasilnya Zaid tidak dapat melepasi kelayakan untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian. Fatmi yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri ketika itu mendapat jawatan ketua dengan mudah.

Biar pun Zaid rapat dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun dalam banyak hal Pak Lah tunduk kepada kemahuan politik Najib.

Bagi memujuk Zaid, Pak Lah menawarkan jawatan menteri dengan status Senator.

Zaid menang jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu selepas pertembungan sengit dua penggal melawan Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher. Zaid menang tipis pada pemilihan 2001.

Keupayaan Zaid mengekalkan jawatan ketua bahagian penggal kedua akhirnya membawa padah apabila cuba disabit dengan kesalahan politik wang. Akhirnya jawatannya digantung.

Ketika itulah Mohd Fatmi tampil dan merampas dengan kerusi ketua bahagian. Fatmi bangkit dengan ihsan Najib.

Namun agak mengaibkan apabila Fatmi gagal memasuki pejabat Umno Kota Bharu di Jalan Sultanah Zainab. Bangunan itu difahamkan dibiayai sumber kewangan Zaid.

Bangunan agak besar itu kini lenggang apabila Zaid dipecat keahlian Umno.

Sebelum itu Zaid merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri pada 2003.

Lebih ajaib lagi biar pun tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac 2008, Zaid dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Zaid diamanah menjaga hal ehwal undang-undang. Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya bagi membetulkan institusi kehakiman yang cedera parah di era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maka tidak hairanlah dicetusnya kerajaan perlu meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat pada 1988. Ini membangkit satu dimensi baru dalam politik negara.

Biar pun dikecam ramai pemimpin Umno, Zaid tidak berganjak. Dan akhirnya beliau berjaya apabila kerajaan membayar saguhati kepada hakim-hakim terbabit.

Itulah jasa besar Zaid di hati bekas hakim yang teraniaya di era Dr Mahathir.

Hasilnya hakim-hakim termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dapat bayaran ex-gratia. Kesemuanya berjumlah RM5 juta.

Dr Mahathir marah sangat kepada Pak Lah kerana mengikut kemahuan Zaid.

Ekoran itu Zaid dianggap penyokong Dr Mahathir sebagai pembangkang dalam kabinet Pak Lah.

Hari ini bekas menteri yang bersusah payah membetulkan semula sistem kehakiman negara muncul kembali.

Kali ini bukan lagi di Kota Bharu, sebaliknya Hulu Selangor. Zaid yang dicap wakil pembangkang ketika berada dalam kabinet Pak Lah, mahu mendapat restu penduduk di Hulu Selangor bagi meneruskan perjuangannya.

Peguam kelahiran Bachok terbabit mahu terus melangkah. Beliau sanggup meninggalkan tanah tumpah darahnya demi membawa berkat Serambi Mekah ke Hulu Selangor.

Penentu kepada pusingan kedua perjuangannya akan dimuktamadkan 25 April ini.

Di Hulu Selangor sebanyak 63 peratus penduduk dari kelompok kelas menengah lebih terdedah kepada media baru.

Ramai kelas menengah dan sebahagian anak muda tinggal di Bukit Beruntung, Batang Kali dan Kuala Kubu Baru.

Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari UM menggambarkan anak muda berusia 21 hingga 40 membentuk 48 peratus komposisi tinggal di kawasan urban.

Berdasar kepada hujah tersebut, sarjana sains politik, Wan Nik Wan Yussof menggambarkan peluang Pakatan Rakyat lebih cerah.

”Biar pun kemenangan dijangka tidak besar namun bukan berpihak kepada BN,” ujarnya.

Gambaran awal yang memperlihatkan situasi itu sudah diketahui umum. Umno Hulu Selangor mahu kerusi tersebut dikembalikan kepada parti itu. Bagaimanapun Umno pusat tidak mahu status quo diubah.

Keduanya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pada awalnya berkeras mahu timbalannya, Datuk G Palanivel dicalon. Manakala MIC Hulu Selangor pula berkenan Ketua Pemuda MIC bahagian berkenaan, V Mugilan.

Akhirnya Ketua Penerangan MIC Pusat, P Kamalanathan pula menjadi pilihan. Krisis yang sudah terdedah kepada umum itu terpaksa diredakan.

Caranya media diarah menyiarkan gambar Palanivel dan Kamalanathan berpelukan bagi memperlihatkan krisis sudah berakhir.

MIC juga terpaksa mengatur pertemuan dengan pemimpin akar umbinya Jumaat lalu membabitkan 75 cawangan di Hulu Selangor. Tujuannya bagi memperlihatkan Palanivel tidak berdendam.

Berdasar perkembangan tersebut, PKR seperti tidak sukar untuk mempertahankan Kuala Selangor. Itu belum lagi diambil kira masalah pemilikan tanah yang banyak tidak selesai. Begitu juga isu nasional yang berlingkar sekarang.

——————————————————————————————————–

Najib ke hulu, Muhyiddin ke hilir

Oleh Aslani Mulhiq

TUN Dr Mahathir Mohamad pernah menafikan berkali-kali ada masalah dengan timbalannya, sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 2 September 1998.

Begitu juga Dr Mahathir dengan Tun Musa Hitam, sebelum beliau digantikan Tun Ghaffar Baba di kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Di Terengganu konfrantasi antara Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Said pada awalnya dinafikan, akhirnya tembelang pecah juga.

Situasi serupa melingkari Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Datuk Dr Isa Sabu di Perlis.
Dalam dunia politik banyak kali sejarah dicatat, penafian akhirnya menjadi kenyataan. Begitu juga dengan episod Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang.

Ketika datang merasmikan program Juara Rakyat di Machang, Kelantan Sabtu lalu, tiba-tiba beliau menyebut tiada masalah dengan Datuk Seri Najib Razak.

Tiada seorang pun tanya sehingga perlu dijawab begitu. Ramai melihat sebagai seorang pemimpin ‘jujur’ Muhyiddin tidak mampu untuk menyembunyikan apa yang berlaku.

Tidak perlu Muhyiddin untuk menafikan perkara tersebut di khalayak ramai, tanpa udang di sebalik batu. Orang kampung yang tidak mengetahui hubungan dingin Muhyiddin–Najib akhirnya tahu juga.
Mungkin Timbalan Presiden Umno cuba bagi membuat pengakuan jujur di hadapan tiga Naib Presiden Umno di Kelantan. Mengambil berkat Serambi Mekah.

Timbalan Perdana Menteri seperti mahu melafazkan pengakuan bersaksi Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussin dan Datuk Seri Shafei Afdal.

Berdasar fenomena itu Muhyiddin sudah benar-benar gelabah sekarang. Dr Mahathir pernah mempunyai empat Timbalan Menteri Perdana sepanjang berada di puncak kuasa.

“Mungkin fenomena itu boleh diulangi Najib. Ini kerana mentor Najib ialah Dr Mahathir dan bukannya bapanya sendiri.

”Najib banyak terhutang budi kepada Dr Mahathir kerana berjaya menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi lebih awal,” kata seorang bekas pegawai kanan kerajaan.

Dalam situasi itu nampaknya Muhyiddin agak bernasib baik kerana berjaya membiarkan Najib keseorangan berkempen di Hulu Selangor Sabtu lalu.

Perdana Menteri datang tanpa kehadiran pemimpin kanan Umno. Cuma kelihatan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin Umno Selangor.

Kalau diambil kira dari segi kepentingan politik, kehadiran pemimpin kanan Umno di Hulu Selangor lebih penting bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini.

Hayat Muhyiddin juga tidak mungkin panjang di kerusi sekarang kerana di ibu pejabat Umno di PWTC, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dikatakan sudah meletak orangnya menguasai posisi di situ.

Kehadiran Datuk Rauf Yusoff sebagai Setiausaha Kerja Umno Malaysia difahamkan ada kaitan dengan Najib-Rosmah.

Sumber Umno di Kuala Lumpur memberitahu pegawai dan kakitangan di pejabat berkenaan tidak senang dengan kehadiran Rauf.

“Saya diberitahu baru-baru ini ada bantahan di kalangan petugas di pejabat Umno kerana tidak puas hati terhadap tindak tanduk Rauf,” dakwanya.

Cengkaman Najib-Rosmah sudah terbenam jauh apabila didedah ada arahan supaya media kerajaan membuat liputan meluas lawatan Rosmah ke Amerika Syarikat minggu ini.

Bukan lagi sekadar setiap tutur kata Najib yang perlu dilapor media. Umno tambah cedera apabila tanpa malu anggota parlimen Kinabatangan, Bung Mokthar membiarkan dada isterinya tanpa kain di anugerah Bintang Popular di Geting Highlands malam Ahad lalu.

——————————————————————————————————-

3 Naib Presiden Umno tidak bersama Najib!

Oleh Aslani Mulhiq

Ketika 1Malaysia dijulang dengan kejayaan genap setahun Datuk Seri Najib Razak menerajui negara, tanpa disedari tiga Naib Presiden Umno tiada bersamanya ketika turun padang berkempen di Hulu Selangor baru-baru ini.

Perdana Menteri kelihatan keseorangan di Hulu Selangor tanpa kehadiran pemimpin kanan Umno. Cuma kelihatan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin Umno Selangor.

Sedangkan tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussin dan Datuk Seri Shafei Afdal berada di Kelantan bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Kalau diambil kira dari segi kepentingan politik, kehadiran pemimpin kanan Umno di Hulu Selangor lebih penting bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini.

Bagi Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim ketidakhadiran tiga pemimpin kanan Umno bersama Perdana Menteri di Hulu Selangor memperlihatkan ada masalah dalaman Umno sekarang.

“Ini dapat dilihat apabila Timbalan Menteri Perdana tanpa ditanya sesiapa pun membuat kenyataan masih mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

“Kebiasaannya apabila kenyataan itu terpaksa dikeluarkan menggambarkan ada masalah dalaman membabitkan kedua-dua pemimpin kanan terbabit sekarang.

“Kalau tidak ada masalah buat apa hendak sebut di hadapan orang ramai mereka tidak mempunyai masalah. Kebiasaan orang politik apabila menafikan dari awal lagi sebenarnya ada sesuatu yang cuba disembunyikan,” katanya di sini.

Hubungan di antara Najib – Muhyiddin dilihat mulai tidak sehaluan apabila pemimpin Pakatan Rakyat membayangkan Timbalan Perdana Menteri seperti tidak menghayati konsep 1Malaysia.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berjaya menguji tahap penerimaan Muhyiddin terhadap konsep 1Malaysia apabila beliau terperangkap dengan soalan anggota parlimen Ipoh Timur di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain kehadiran Muhyiddin pada program Juara Rakyat di sini bagi menyampaikan wang ihsan kepada 70 pelajar miskin dari seluruh Kelantan.

Pada peringkat awal diuar-uarkan sebanyak RM25 juta akan diberi kepada pelajar miskin, di mana ibu bapa mereka berpendapat kurang RM750 sebulan.

Seramai 100,000 pelajar disasarkan Umno mendapatkan wang ihsan.

Sedangkan pada majlis semalam difahamkan hanya sebanyak RM10,500 diberi kepada 70 pelajar iaitu sebanyak RM150 seorang.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya orang ramai memandangkan wang ihsan sebanyak itu tidak sepadan diberi melibatkan kehadiran Timbalan Perdana Menteri.

Kata seorang bapa, kalau hanya sejumlah RM10,000 wang ihsan diberi kepada pelajar, tidak sepatutnya membabitkan kehadiran pemimpin negara.

Berucap pada majlis tersebut Muhyiddin berkata, “sesiapa yang tidak mahu kepada wang ihsan sila angkat tangan”.

Ketika itu ada beberapa orang yang berada di hadapan pentas mengangkat tangan.

Kemudian diulang lagi Muhyiddin siapa yang tidak mahu kepada wang ihsan sila angkat tangan.

Selepas itu tiada lagi yang angkat tangan selepas keliru dengan soalan awal diaju Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum itu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sekali lagi mengulangi Kelantan tidak layak mendapatkan royalti minyak memandangkan kedudukan pelantar lebih tiga batu nautika (5.5 km).

“Wang ihsan hanya kita beri kepada pelajar-pelajar miskin sahaja. Kalau tidak mahu kepada wang ihsan bermakna tidak undi BNlah.

“Hendak ke tak nak wang ihsan,” katanya berulang kali pada ucapan tersebut. Orang ramai yang berada di hadapan kebanyakan pemimpin Umno peringkat bahagian menjawab nak.

Program Juara Rakyat biar pun disebut program anjuran Umno, namun berpuluh-puluh agensi kerajaan terbabit dengan program berkenaan.

——————————————————————————————————

Parti Tanpa Aqidah Mudah Retak

Oleh Aslani Mulhiq
‘POLITIC is the art of possible’ kata ahli politik Jerman, Otto Von Bismarck.

Mungkinkah kerana berpegang kepada falsafah itu tiga anggota parlimen KeADILan bertindak keluar parti.
Terakhir anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, 65 mencuba falsafah itu. Sebelumnya Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Manakala anggota parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin pula dipecat sebagai ahli parti. Sekarang jumlah anggota parlimen KeADILan tinggal 27 orang.

Rakan-rakan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP kekal 28 kerusi dan PAS juga bertahan 23 kerusi. Pada awalnya jumlah anggota parlimen yang menang atas tiket PAS ada 24 kerusi, namun Datuk Ibrahim Ali enggan mengakui hakikat itu.

Jadi PAS terus kekal dengan 23 kerusi biar pun ada pertambahan dengan satu kerusi di Kuala Terengganu pada Januari 2009.

Politik ikut cuaca juga melanda wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Mereka lebih ramai yang sudah beralih angin.

Segala cerita bermula di Perak pada awal tahun lepas. Dua Adun KeADIlan
iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) dilaporkan hilang, tiba-tiba mereka muncul bersama Datuk Seri Najib Razak.

Turut hilang Adun DAP, Hee Yit Fong (Jelapang). Amalan politik mereka menepati ramalan Otto Von Bismarck, segala kemungkinan boleh berlaku. Benarlah dikatakan ia seumpama cuaca.

Jamaluddin, 53 sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan.

Manakala Osman, 58 ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak.

Mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Perbicaraan kes mereka didengar di Mahkamah Sesyen bermula 10 Februari 2009.
Ekoran agenda ‘turn about’ itu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Maka kedudukan PAS, DAP dan KeADIlan di DUN Perak merosot kepada 27 kerusi iaitu sama dengan jumlah dimenangi Barisan Nasional. Masing-masing ada 27 kerusi.

BN cuma bernasib baik apabila Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan secara lisan kepada Sultan Perak untuk menyokong BN dan tidak lagi Pakatan.

Isu tersebut terheret sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Akhirnya hakim memutuskan Sultan berhak melantik Menteri Besar baru biar pun di luar prosedur persidangan DUN.

Keputusan itu biar pun dipertikaikan banyak pihak, namun mengesahkan Pakatan Rakyat hilang segala kuasa di Perak.

Kemudian sindrom menari ikut cuaca menjangkiti Selangor apabila seorang lagi Adun KeADILan hilang. Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dikatakan hilang selama lima hari.

Kemudian muncul dengan menyatakan pendirian keluar dari parti yang memenangkannya untuk bergelar wakil rakyat.

Adun Pelabuhan Klang itu membuat pengumuman di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Sejak menang pada Mac 2008 beliau dikatakan menimbulkan masalah kepada parti. Dia didakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Sindrom serupa menjangkiti pula Kedah apabila Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh juga membuat keputusan nekad keluar KeADILan.

Semua wakil rakyat yang keluar parti hanya menyatakan menjadi wakil bebas dan bukan menyertai Umno.
Berlainan dengan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin apabila mengumumkan menyertai Umno.

Tindakannya tidak mampu membantu Umno kerana dia datang sebatang kara dan tiada title YB bagi membolehkan harga dirinya melonjat tinggi.

Fairus meninggalkan kerusi Penanti kepada Dr Mansor Osman. Akhirnya Fairus pergi dengan harga yang tidak mahal. Sekadar selendang silat yang mampu diberi kepada Najib.

Mungkin apa yang menyebabkan Fairus berundur kerana desakan pimpinan KeADILan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum itu sudah bertiup kencang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit dikatakan sukar ditemui rakyat.

Berita sedemikian seperti sukar dinafikan. Tanyalah sesiapa pun di Pulau Pinang, mereka mengeluh apabila disebut nama Fairus.

Beberapa penduduk di Nibung Tebal mengakui sukar untuk menemui Fairus ketika menduduki jawatan nombor dua di negeri berpulau itu.

“Janji banyak tidak ditepati. Janji hendak datang, akhirnya batang hidung tak nampak,” kata seorang penduduk ketika ditemui di sebuah masjid di Nibung Tebal dua tahun lalu.
Politik yang dianggap seni serba kemungkinan tersebut juga menghempap mantan Setiausaha Agung KeADILan, Datuk Salehuddin Hashim.

Ketika dia datang ke Kota Bharu akhir tahun lepas, tidak ramai yang kenal.
Jauh berbanding tokoh politik KeADIlan yang lain.

Beliau nampak sunggul biar pun berada di atas pentas pada konvensyen KeADIlan Kelantan ketika itu. Wajahnya tidak nampak ceria.

Mungkin kecamuk jiwanya untuk meninggalkan parti sudah berombak ketika itu. Cuma mungkin Anwar dan pimpinan lain KeADILan belum dapat meneka.

Dan hari ini dengan wajah kusam dia hadir pada sidang media Zahrain dan Tan ketika mengumumkan keluar daripada KeADIlan.

Bukan sekadar itu beliau pula mendakwa lebih 10 wakil rakyat akan keluar parti.
Ekoran episod tersebut 12 wakil rakyat KeADILan mengadakan sidang media menyatakan mereka akan terus kekal bersama parti.

Salehuddin membiarkan dirinya menjadi mangsa cemuhan apabila sanggup tampil pada sidang media dua bekas anggota parlimen KeADILan terbabit.

Situasi itu mengundangkan pelbagai andaian yang tidak mampu ditolak Salehuddin. Maka ada orang mendakwa dia menjadi segala dalang dalam episod politic is the art of possible.
Telahan berkenaan biar pun mampu dijawab dengan 1001 alasan, namun persepsi untuk menggambarkan siapa sebenar Salehuddin sudah terjawab.

Ketika art of possible sedang menggoncang teratak KeADILan, PAS nampaknya lebih kukuh kerana bertunjang akar agama.

Pengalaman kerajaan PAS di Kelantan yang dipisahkan dengan satu kerusi, namun mampu bertahan sepenggal tiada tolak bandingnya. Cuba bayangkan PAS – 23 dan BN – 22, PAS hanya seperti telor di hujung tanduk sebelum Mac 2008.

Namun telor PAS tidak retak dan apa lagi bergolek jatuh. Bukan tiada umpan berjuta seperti berlaku sekarang, sebaliknya berguni wang tunai cuba disogok kepada Adun PAS ketika itu.
Dalam situasi politik baru sekarang, nampaknya politik ikut cuaca seperti disebut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berlaku kepada parti berteras agama.

Menari ikut cuaca boleh berlaku kepada parti berteras nasionalis dan ideologi. Ideologi dan nasionalisme ciptaan manusia, bukan agama yang diturunkan dari langit.

Inilah sebenarnya yang membezakan di antara PAS, Umno, KeADILan dan DAP. Jelaslah agama tidak merubah seseorang menjadi seperti cuaca.