Friday, 18 May 2012

Ahli Majlis dinasihat jaga amanah Allah – Nik Aziz

Oleh : Ahmad Hasanain

Ahli Majlis menerima watikah perlantikan dari Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU, 15.Jan – Dasar kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam seharusnya dipertahankan oleh semua pihak termasuklah Ahli Majlis Kerajaan Tempatan kerana mereka adalah amanah dari Allah dan juga sanggup menerima tanggungjawab yang diserahkan oleh pimpinan Kerajaan negeri.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan amanat kepada seramai 251 Ahli Majlis Perbandaran dan Daerah seluruh negeri di majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan tahun 2012 khamis lalu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan, Exco negeri, Wakil Rakyat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr.Zainuddin Ibrahim.

Nik Aziz berkata sebuah kerajaan adalah seperti sebuah taman makanan yang menghidangkan pelbagai jenis masakan untuk dinikmati oleh rakyat.

“dalam sebuah taman sebegini sudah tentulah terdapat pelbagai citarasa seperti pedas, masin, manis dan masam, namun jika digabungkan sebaik mungkin ia amat menyelerakan, begitu jugalah ahli-ahli majlis ini, mereka seharusnya menunaikan kerja sebaik mungkin agar ia dapat memuaskan hati rakyat tempatan”ujar beliau.

Nik Aziz juga berkata ahli majlis tempatan dan semua pihak sebagai “Buruh Kasar” bagi Allah kerana semua manusia mempunyai amanah dan tanggungjawab dalam mentadbir bumi ini.

Ahli Majlis yang baru bagi MPKB-BRI bersama Menteri Besar Kelantan

Sehubungan itu, beliau berharap ahli-ahli majlis tempatan agar sentiasa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan mengamalkan dua perkara penting iaitu berbincang dan melaksanakan secara berhemah.

“ Saya juga ingin menjelaskan Kelantan adalah sebuah negeri yang menjadi tumpuan seluruh Negara dan di peringkat kerajaan tempatan, ahli-ahli majlis adalah merupakan mereka yang akan mencorakkan pentadbiran setempat, oleh itu amat diharapkan agar sentiasa member khidmat yang terbaik kepada masyarakat”katanya lagi.

Sementara itu terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan ketika menyampaikan ucapan aluan berkata pada tahun ini seramai 23 muka baru bagi Ahli Majlis seluruh negeri.

Takiyuddin juga berkata tanggungjawab ahli majlis pada tahun ini menjadi tumpuan umum kerana adanya Tahun Melawat Kelantan 2012 dan ini akan menjadi satu tugas penting kepada seluruh ahli majlis agar bekerja keras dalam membantu kerajaan negeri berusaha memperkenalkan Kelantan dan menarik seberapa ramai pelancong ke daerah masing-masing.