Monday, 22 September 2014 //

Dikir Halaqat tembusi Selatan Thai

Oleh : Hasnan Yahya

Persembahan Dikir Halaqat mendapat sambutan penduduk tempatanNARATHIWAT (THAILAND ), 23.Sept - Hasrat Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melihat konsep berdakwah melalui pelbagai cara terus mendapat sambutan umum dan terbaru Pasukan Dikir Sri Halaqat yang membawa lagu berdasarkan konsep Islamik mendapat sambutan menggalakkan dari negara jiran Thailand.

Rombongan Dikir Sri Halaqat yang membuat persembahan mereka di Kampung Tamu,40 KM dari bandar Narathiwat dalam daerah Kuala Kawil mendapat sambutan lebih 500 penduduk kampung .

Dikir Sri Halaqat yang dijemput khas oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Tamu, Narathiwat bagi menyerikan majlis Hari Terbuka Kesihatan dan Penyampaian sumbangan kepada Warga Emas yang berlangsung sehari itu telah membuat persembahan selama satu jam tanpa henti dan mendapat tepukan gemuruh dari pengunjung.

Kumpulan Dikir Sri Halaqat yang diketuai sendiri oleh Pengarah Jabatan Halaqat Negeri Kelantan Abdullah Razak telah diraikan oleh “Nayot Abota “ ( Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung ) Nasir Taebatu. Penghafaz Al-Quran turut mengikuti kumpulan Sri Halaqat Kelantan.

Abdullah ketika ditemui di majlis tersebut berkata cetusan idea oleh Menteri Besar Kelantan itu kini semakin menampakkan hasil apabila di setiap persembahan yang disertai oleh Kumpulan Dikir Sri Halaqat, ia mendapat sambutan menggalakkan.

“ Alhamdulillah, hari ini kita dapat melihat sendiri walaupun Dikir Barat masih dijadikan sebagai kesenian negeri Kelantan, namun dengan adanya Dikir Halaqat yang dipelopori oleh Kumpulan Sri Halaqat Negeri Kelantan yang diketuai oleh seorang Imam Mukim iaitu Ismail Muhammad dan disertai oleh beberapa imam mukim lain, Bilal dan Penghafal Al-Quran, Penghulu dan ini membuktikan penerimaan dikir halaqat oleh pelbagai lapisan masyarakat”ujar beliau.

Rombongan Sri Halaqat Kelantan bergambar bersama Pimpinan Masyarakat Kg Tamu, Narathiwat.Menurut Abdullah lagi Kumpulan dikir ini dibawah pemantauan oleh Jabatan Halaqat Negeri Kelantan dan lagu-lagu yang dibawa oleh kumpulan ini hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu agar ia tidak menimbulkan sebarang fitnah dan lagu tersebut seharusnya dapat memberi menafaat kepada orang ramai.

Sehingga kini, Kumpulan Dikir Sri Halaqat telah membuat persembahan di seluruh negara seperti Pahang, Perak, Melaka dan ia mendapat sambutan menggalakkan kerana lagu-lagu yang dibawa adalah amat berbeza dengan lagu yang dibawa oleh kumpulan dikir barat lain.

Sementara itu Ketua Kumpulan Dikir Sri Halaqat Kelantan Ismail Muhammad pula berkata walaupun pada awal penubuhan Dikir Halaqat, orang ramai keliru dan beranggapan ia tidak mempunyai kesenian tersendiri, namun kini setelah orang ramai menyaksikan persembahan kumpulan Sri Halaqat, ia ternyata banyak perbezaaannya.

“ Dikir Halaqat kita mulakan dengan Marhaban diikuti zikir dan doa, setelah itu kita juga menukar Tukang Karut kepada Tukang Pantun dan Tukang Juara ditukar kepada Tukang Syair.” Kata beliau.

Menyentuh perancangan Kumpulan Dikir Sri Halaqat, Ismail yang juga merupakan seorang Imam Mukim Kampung Parit Lama Pasir Tumboh berkata kumpulan mereka kini sudah banyak menerima jemputan untuk membuat persembahan dan di Kelantan ia sudah meliputi seluruh negeri dan terdapat juga undangan dari negeri lain.