Friday, 18 May 2012

Pendakwah perlu sebar kepentingan bayar cukai tanah – TMB

Oleh : Zahrawani Ayu

Pengarah PTG Kelantan menunjukkan kempen potongan 90 % pada Datuk Ahmad Yakub

KOTA BHARU, 16.Jan – Golongan pimpinan masyarakat termasuk golongan pendakwah dan ulamak seharusnya memainkan peranan penting membantu kerajaan negeri dalam menyebarkan kepentingan sebagai rakyat menjelaskan hutang termasuklah tunggakan hasil cukai tanah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub berkata dalam sejarah kepimpinan Khulafa Ar-Rasyidin seperti Khalifah Umar Al-Khattab turut mengenakan cukai hasil pertanian kepada rakyatnya dan ia berdasarkan kualiti pengeluaran dan sekiranya tanah yang diberikan tersebut tidak diusahakan ia boleh diambil semula oleh pemerintah.

Ahmad juga berkata sehingga kini Kelantan adalah negeri pertama yang mengamalkan dasar potongan kadar denda tunggakan cukai kepada rakyatnya dan ia amat selari dengan dasar negeri berkebajikan, namun rakyat seharusnya memahami hasil pungutan cukai tanah adalah punca pendapatan negeri dan ia seharusnya dibayar setiap tahun untuk kegunaan rakyat negeri ini juga.
Beliau berkata demikian di majlis Pelancaran Tawaran Pengurangan Tunggakan Denda 90% ke atas Cukai Tanah Tertunggak bagi tahun 2012 di Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hasil Tanah dan Galian Kelantan Datuk W.Mustapha W.Ab.Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr.Zainuddin Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Faudzi Che Mamat.

Ketua Jajahan Kota Bharu menerima banner dari Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Hadir sama Ketua-Ketua Jajahan, Penggawa serta Penghulu mukim.

Menurut Ahmad lagi sehingga kini rakyat diberi peluang untuk menjelaskan cukai tanah yang tertunggak dan melalui program pemotongan sehingga 90 peratus ke atas denda lewat bayaran hasil tanah yang dikenakan itu diharapkan rakyat mengambil peluang baik ini untuk mejelaskan hasil cukai tanah masing-masing.

“Kita juga perlu ingat bahawa hutang itu wajib dibayar tanpa mengira pihak yang kita berhutang tersebut dan lebih-lebih lagi hutang dengan kerajaan yang semestinya milik rakyat , oleh itu langkah kerajaan mengurangkan denda ini akan membolehkan rakyat menjelaskan hutang tersebut”katanya lagi.