Thursday, 23 October 2014 //

TRW dapat tunai umrah sumbangan negeri

Oleh : Ahmad Hasanain

Tim.Menteri Besar mengumumkan ganjaran untuk pasukan bolasepak KelantanKOTA BHARU, 24.Okt – Kejayaan menjuarai Piala Malaysia kali ini membolehkan pasukan bolasepak Kelantan(TRW) menerima sumbangan utuk menunaikan umrah yang akan melibatkan keseluruhan pemain dan pengurusan TRW.

Sementara itu bagi pemain dan pengurusan bukan Islam, pihak kerajaan akan menyediakan ganjaran berbentuk wang tunai yang akan sama dengan nilai yang diberikan kepada pemain untuk menunaikan umrah.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, ganjaran tersebut diputuskan oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat exco pagi tadi.

” Alhamdulillah kali ini kerajaan bersetuju untuk memberi ganjaran kepada pasukan TRW dan kerajaan juga merakamkan tahniah di atas kejayaan menewaskan ATM baru-baru ini”ujar beliau.

Kerajaan Kelantan juga akan mengadakan jamuan kesyukuran yang melibatkan penyokong dan pemain TRW pada satu majlis Jamuan Rakyat bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV pada sabtu 3.November ini.

” Kita juga akan meraikan sokongan rakyat pada TRW yang memberi sokongan padu dalam merebut Piala Malaysia baru-baru ini dan di samping itu kita akan menjemput sama pemain dan ia akan diadakan pada sekitar jam 12 hingga 2 petang”katanya lagi.

Sebelum ini Kelantan juga pernah menyumbangkan ganjaran menunaikan umrah pada tahun 2009 setelah Kelantan berjaya memasuki peringkat akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan walaupun tewas 1-3.