Friday, 18 May 2012

Rumah tanda Penghargaan negeri – Dato Abdul Fattah

Oleh : Hasnan Yahya

Tuan Guru disambut sendiri oleh Khairul Fahmi Che Mat

PENGKALAN CHEPA, 4.Jan – Biarpun Kelantan dikatakan sebuah negeri yang mundur dalam bidang sukan jika dibandingkan dengan negeri lain, namun ia tidak bererti Kelantan meminggirkan atlet maupun ahli sukan negeri.

Penganugerahan sebuah rumah yang bernilai hampir RM200 ribu kepada Penjaga Gol Kebangsaan yang juga kini salah seorang yang terbaik di Asia Khairul Fahmi Che Mat oleh kerajaan negeri dilihat sebagai satu mercu tanda bagi menghargai sumbangan atlet sukan yang dapat menaikkan nama negeri Kelantan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Datuk Abdul Fattah Mahmood, kerajaan negeri melihat perkembangan sukan terutamanya bolasepak Kelantan kini semakin meningkat dan ia boleh dikatakan bermula tahun 2005.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan kunci rumah kepada Khairul Fahmi oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr.Zainuddin Ibrahim. Exco negeri, Wakil-Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Abdul Halim Abdul Rahman,

Sehubungan itu Kerajaan melalui urusetia sukan negeri telah mengadakan pelbagai pertandingan bolasepak dan bermula tahun 2005 Kejohanan Bolasepak Peringkat Liga Dun menggambarkan Kelantan sememangnya dapat melahirkan ramai pemain yang berkaliber.

Fahmi menerima replika kunci rumah dari Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz

Abdul Fattah juga berkata kini sudah terdapat beberapa pemain yang dilahirkan dalam Akademi Bolasepak Melayu Kelantan yang sudah dapat menempa nama di peringkat kebangsaan dan salah seorangnya ialah penjaga gol bawah umur 12 tahun.

Sementara itu  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berharap dengan penganugerahan sebuah rumah kepada Khairul hari ini, ia menjadi tanda penghargaan negeri kepada mana-mana rakyat yang telah dapat menaikkan nama negeri Kelantan tanpa mengira bidang.

“Sebelum ini, kerajaan juga ada member sebuah rumah kepada pelajar cemerlang dalam SPM iaitu adik Nur Mardhiah dan hadiah ini tidak padan kalau nak bandingkan dengan harganya, tetapi kita harus ingat walau berapa hargapun tetapi kalau ia adalah hadiah, ia amat bernilai kepada orang yang menerimanya”katanya lagi.

Bagi Khairul Fahmi pula,  keluarganya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Tuan Guru Menteri Besar dan Binaraya Sdn Bhd kerana telah menyiapkan rumah yang dijanjikan tahun lalu.

“ Ini juga sebagai hadiah hari lahir saya yang kebetulannya pada 7.Januari ini dan ia amat berharga dalam hidup saya kerana ia datangnya dari kerajaan negeri Kelantan sendiri”kata beliau