Wednesday, 20 August 2014 //

Selebriti teruja berada di Kelantan

Oleh : Hasnan Yahya

Imam Muda Nazrol bersama Heliza AF watak utama Warkah CintaPENGKALAN CHEPA, 23.Sept – Biarpun ada di kalangan rakyat Kelantan sendiri merasa bosan berada di negeri Serambi Mekah ini dan mencanangkan kemunduran negeri tanpa pelbagai aspek pembangunan , namun ia tidak sedikitpun mencacatkan kebanjiran pengunjung dan tahun 2012 telah diistiharkan sebagai Tahun Melawat Kelantan.

Kelantan juga kini telah menjadi tumpuan kepada syarikat perfileman untuk membuat penggambaran di negeri ini dan terbaru Filem arahan Meor Hashim Manap, skrip yang dihasilkan oleh anak tempatan Ustaz A.Ubaidillah Alias.

Watak utama yang dilakonkan oleh Imam Muda Nazrol Izwan Zulkifli yang merupakan naib johan musim kedua dibantu oleh Heliza Hashim AF tersebut menggunakan Kelantan sebagai lokasi utama di samping penggambaran di Negara mesir.

Imam Muda Nazrol ketika ditemui di lokasi penggambaran di Lapangan Terbang Sultan Ismail berkata beliau amat teruja dan rasa amat gembira apabila mendapat tawaran berlakon di bawah arahan Meor Hashim Manap dan memegang watak utama dalam filem tersebut.

Nazrol juga berkata terdapat banyak kelainan Kelantan jika dibandingkan dengan negeri lain walaupun negeri lain juga mempunyai tempat menarik. Penggambaran Warkah Cinta diarahkan oleh Pengarah terkenal Meor Hashim Manap

“ Di Kelantan suasana amat berbeza, hari jumaat dijadikan sebagai hari ilmu dan kita dapat lihat himpunan di Dataran Ilmu yang dijadikan sebagai medan untuk meningkatkan ilmu agama dan Alhamdulillah saya juga berkesempatan seketika berada di kawasan tersebut”ujar beliau.

Pemilihan Kelantan bagi filem Warkah Cinta ini amat bertepatan kerana ia berkisar percintaan antara remaja yang mempunyai latar belakang agama di mana Nazrol yang berlakon sebagai Amir adalah merupakan penuntut di Mahaad Tahfiz dan Heliza yang memegang watak Wardah belajar di Sekolah Agama menaruh harapan untuk bersama.

“ Melalui filem ini,ia mengisahkan perasaan cinta itu sememangnya ada pada setiap manusia, walaupun seseorang itu berada di alam persekolahan aliran agama, namun bagi melayani perasaan cinta tersebut ia mestilah berlandaskan kehendak agama”katanya lagi.

Sebahagian babak yang dilakonkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail PetraSementara itu Heliza Helmi pula berkata rakyat Kelantan begitu peramah dan amat bersopan santun dan menjaga tatasusila.

“ Kita lihat ramai wanita di Kelantan menutup aurat jika dibandingkan dengan negeri lain dan ini mungkin hasil didikan pemimpin negeri yang mementingkan ilmu agama kepada rakyatnya, saya amat terharu apabila dapat bergaul mesra dengan wanita negeri ini”katanya.

Menyentuh pemilihan Kelantan sebagai lokasi penggambaran filem Warkah Cinta, Heliza berkata ia amat sesuai memandangkan Kelantan merupakan negeri Serambi Mekah dan filem ini adalah berunsurkan Islamik.

Bagi Penulis Skrip Filem Warkah Cinta A.Ubaidillah Alias, pemilihan Kelantan dalam pembikinan filem ini adalah ia bersesuaian dengan jalan cerita yang mengisahkan percintaan dan konflik keluarga serta ia mendapat kerjasama sepenuhnya dari Yayasan Islam Kelantan. Penulis Skrip Warkah Cinta – A.Ubaidillah Alias

“ Kita berterima kasih kepada Yayasan Islam Kelantan kerana membenarkan beberapa lokasi penggambaran dilakukan di sekolah-sekolah di bawah kelolaan YIK”ujar beliau.